Pilih Bahasa

SABAH MINTA CADANGAN TUTUP ILKKM SANDAKAN DIBATALKAN

SANDAKAN, 14 Jan (Bernama) — Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong bercadang bertemu Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai kedudukan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) (Kejururawatan) Sandakan yang dikatakan akan ditutup tidak lama lagi.

Wong, yang juga anggota Parlimen Sandakan berkata beliau juga akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat kabinet negeri kerana berpendapat institut itu, yang dibuka pada tahun 1965 sebagai sekolah latihan pembantu jururawat mempunyai nilai sejarah yang perlu dikekalkan.

Datuk Stephen Wong. Gambar Bernama

“Sebagai wakil rakyat di sini (Sandakan), saya amat sedih jika institut ini ditutup kerana latihan kejururawatan pertama dimulakan di Sandakan.

“Saya dimaklumkan tidak ada hitam putih mengenai rancangan menutup institut ini, tetapi khabar angin kuat mengatakan perkara ini dan saya mahu pastikan ia tidak berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatannya ke institut latihan itu di sini hari ini.

Menurut Wong, selain menerima banyak rayuan daripada rakyat, khususnya di Sandakan, agar institut itu dikekalkan, beliau yakin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga tidak akan bersetuju dengan penutupan institut itu.

Terdahulu, dalam taklimat mengenai institut latihan kejururawatan itu, pengarahnya Sia Seng Mui berkata Kementerian Kesihatan bercadang untuk menutup institut itu pada 2021.

Katanya, jika cadangan itu direalisasikan, kursus kejururawatan asas dan ortopedik, yang dijalankan di Sandakan, akan diambil alih ILKKM Kota Kinabalu, manakala kursus diploma lanjutan kebidanan akan diambil alih ILKKM Tawau.

Menurut Sia, bidang latihan kejururawatan di Sabah bermula di Sandakan pada 17 Mei 1965 di bangunan utama Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini dan sehingga 2004, bidang latihan kejururawatan ditadbir kerajaan negeri.

Pada 2005, beliau berkata latihan kejururawatan berpindah ke bangunan sendiri dalam kawasan HDOK dan dikenali sebagai Kolej Kejururawatan Sandakan sebelum dinamakan semula sebagai ILKKM (Kejururawatan) Sandakan pada 2017.

Sementara itu, Pengarah HDOK Dr Francis Paul berkata jika penutupan latihan kejururawatan itu berlaku, hospital itu mempunyai beberapa cadangan untuk menggunakan kampus institut itu, khususnya dalam menangani masalah kesesakan perkhidmatan kesihatan di bangunan utama hospital.

“Bagaimanapun, latihan kejururawatan, terutama kursus lanjutan masih diperlukan di sini (HDOK),” katanya.

— BERNAMA