Pilih Bahasa

SABAH MOHON DASAR PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DITANGGUH SEHINGGA BERI INPUT

Oleh Alfred Petrus

Ewon semasa ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memohon penangguhan pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata pelancaran dasar tersebut akan ditangguhkan sehingga kerajaan Sabah melalui kementeriannya memberi ulasan dan imput yang bersesuaian di peringkat negeri.

“Saya berpendapat, mana-mana dasar peringkat nasional yang mahu diumumkan Persekutuan perlu mengambil kira aspirasi dan juga pendirian kerajaan Sabah.

“Kita tidak mahu mana-mana dasar yang baru diumumkan tetapi tidak mendapat restu dan persetujuan oleh kerajaan negeri Sabah atau Sarawak.

“Jadi pendirian saya ini telah saya kemukakan di Mesyuarat Penyelarasan Exco-exco dan menteri-menteri luar bandar Malaysia yang mana saya meminta supaya pelancaran dasar tersebut dapat diutangguhkan untuk membolehkan kita memberi ulasan selepas melihat semula draf yang dikemukakan oleh kementerian di persekutuan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Amanat Menteri Pembangunan Luar Bandar Kepada Pegawai-pegawai Daerah 2019 di Hotel Tabung Haji pada Jumaat.

Katanya permohonan penangguhan itu juga antara lain kerana Sabah tidak diwakili dalam pasukan penyiasatan dan penyediaan dasar tersebut.

Selain itu, tambahnya beliau berpendapat, pandangan kerajaan negeri perlu diambil kira sebelum mana-mana dasar nasional diumumkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Sepertimana saya nyatakan dalam perjumpaan sebelum ini, saya berharap para Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah telah menyemak draf tersebut dan memberikan ulasan kepada KPLB Sabah.

“Saya maklum dengan pendekatan sebelum ini yang mana Pejabat Daerah dan jabatan atau agensi pelaksana negeri menyampaikan terus input berkenaan keperluan projek kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah untuk dipertimbangkan dalam penyediaan bajet.

“Saya berpendapat pendekatan ini boleh diperbaiki kerana melalui draf input Rolling Plan 4 2019, banyak penambahbaikan termasuk mengambil kira keseimbangan pembangunan antara daerah-daerah, keperluan sebenar projek berdasarkan kepada praktikaliti projek yang mahu diperkenalkan dan juga spesifikasi projek yang lebih jelas,” katanya. -SabahNewsToday

-Tamat