Pilih Bahasa

Sabah pastikan kaum Murut di Sabah tidak tercicir – Mohd Shafie

TENOM, 7 Sept — Kaum Murut di Sabah hari ini diberi jaminan bahawa mereka tidak akan tercicir dalam arus pembangunan, malah rancangan pembangunan untuk kaum itu sudahpun dimasukkan dalam pelan perancangan pembangunan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memberikan jaminan itu berkata beliau sentiasa memberi keutamaan kepada usaha membangunkan kaum berkenaan.

Shafie meniup sumpit di majlis tersebut. Gambar Bernama

Dengan merujuk kepada kawasan Kemabong yang terletak di dalam daerah Teniom, beliau turut memberi jaminan bahawa tanah-tanah di kawasan itu hanya boleh dipohon dan dimiliki oleh penduduk suku kaum Murut di daerah berkenaan.

“Saya tidak ingin melihat tanah-tanah di sini (Kemabong) dimiliki oleh orang lain selain kaum Murut. Kita tidak mahu bila mana kekayaan ada di sini (Kemabong), malangnya ia dimiliki oleh orang bukan dari kaum Murut,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Ramah Mesra Ilau Rakyat Kemabong 2019 di sini, yang dihadiri lebih 10,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat di daerah berkenaan.

Shafie bersama orang ramai yang hadir di majlis Ramah Mesra Ilau Rakyat Kemabong. Gambar SNT/Ihsan JKM

Hadir sama Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Jamawi Jaafar, Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Fredian Gan serta pemimpin-pemimpin setempat.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut mengumumkan kelulusan tapak tanah untuk pembinaan bangunan balai Bomba dan balai Polis di Daerah Kecil Kemabong.

Mohd Shafie merasmikan majlis pecah tanah Fasa 1 Pekan Kemabong. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Tapak tanah seluas 0.6 hektar adalah untuk tapak bangunan balai bomba, manakala 1.7 hektar lagi untuk pembangunan sebuah Balai Polis. Kewujudan dua agensi ini di sini adalah penting kerana ia seiring dengan pembangunan pekan Kemabong yang semakin pesat. Balai Bomba adalah penting bagi mengawal insiden kebakaran yang tidak diduga kerana jarak pekan ini ke pekan Tenom agak jauh,” katanya.

Tedahulu Mohd Shafie turut menyempurnakan upacara pecah tanah tapak pembinaan 41 unit rumah kedai Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) fasa 1 pekan Kemabong dan 12 Kiosk Awam LPPB.

Mohd Shafie menyampaikan geran kepada salah seorang pemilik tanah. Gambar SNT/Ihsan JKM

Selain itu, beliau turut menyerahkan geran individu berstatus anak negeri (NT) kepada 142 individu bagi kawasan Kemabong dan Melalap dan menerima menerima borang keahlian Parti Warisan Sabah (Warisan) seramai 4,420 orang dari 69 Cawangan di kawasan DUN Kemabong.

— BERNAMA