Pilih Bahasa

Sabah pilihan Andmesh Kamaleng buat persembahan sulung di Malaysia

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Syukri (kiri) dan Nurfadhilah pada sidang media Konsert Andmesh Kamaleng Live In Kota Kinabalu di Space8, Aeropod Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sabah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi pilihan pertama penyanyi Indonesia kian meningkat naik, Andmesh Kamaleng membuat persembahan di negara ini. 

Hadir buat julung kalinya, penyanyi yang mula popular menerusi lagu Cinta Luar Biasa itu bakal menemui penggemar muzik tanah air khususnya di Sabah menerusi Andmesh Kamaleng Live In Kota Kinabalu pada 7 Disember hadapan bertempat di Grand Ballroom ITCC Penampang.

Pengurus Operasi Space8DWevents, Syukri Mohamad berkata pihaknya turut teruja dengan penganjuran mini konsert berkenaan kerana penyanyi kelahiran program realiti Rising Star Indonesia musim kedua itu belum pernah muncul dalam sebarang konsert mahupun persembahan di Malaysia.

Syukri berkata pemilihan Andmesh juga selepas melihat prestasinya semakin popular menerusi beberapa lagu seperti Cinta Luar Biasa, Hanya Rindu dan Nyaman.

Syukri (kiri) dan Nurfadhilah pada sidang media Konsert Andmesh Kamaleng Live In Kota Kinabalu di Space8, Aeropod Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Lagu-lagunya menjadi siulan ramai ketika ini bukan sahaja di negara asalnya malah berkembang ke luar negara termasuklah negara ini.

“Selain itu, Andmesh juga memiliki kepribadian menarik yang mampu menambat hati setiap genap masyarakat tanpa mengira lapisan umur, agama dan bangsa.

“Kita melihat kemunculan Andmesh dengan persembahan istimewa ini boleh menarik ramai peminatnya serta penggemar muzik tempatan untuk datang melihat acara muzik ini,” katanya ketika sidang media berkaitan mini konsert terbabit, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi (COO) Space8DWevents, Nurfadhilah Ngalimin.

Syukri Mohamad. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Nurfadhilah berkata setakat ini tiket jenis platinium sudah habis dijual manakala gold dan silver masih dijual sehingga tarikh persembahan.

Menurutnya, penganjur juga akan membuka kaunter pembelian tiket di lokasi konsert bagi memudahkan orang awam yang mahu mendapatkan tiket pada saat akhir.

“Kita janjikan persembahan mantap disebabkan malam itu nanti bukan sahaja ada Andmesh tetapi turut menampilan artis tempatan Sabah seperti Appy @ Alu Alu Project, The Tagaps dan Bolos Ru Bulur.

“Pembeli tiket platinium juga berpeluang bertemu secara dekat bersama Andmesh pada sesi ramah mesra sejurus konsert selesai,” katanya. – SabahNewsToday