Pilih Bahasa

Sabah rancang hasil jenama minyak masak tempatan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang bakal mengeluarkan jenama minyak masak tempatan dijangkakan bermula tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  berkata beberapa daerah di negeri ini sudah dikenalpasti sebagai lokasi pembinaan kilang termasuklah Tawau, Lahad Datu dan Keningau.

Mohd Shafie berkata setiap kilang terbabit dianggarkan mengambil kos kira-kira RM5 juta untuk setiap kilang.

Mohd Shafie (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sempena Majlis Solidariti Aidilfitri UPPM Sabah di Penampang. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Kita yakin mampu menghasilkan minyak masak yang berkualiti dan dijual pada harga pasaran berpatutan.

“Sabah mempunyai banyak hasil kelapa sawit. Oleh itu, kita berpendapat lebih baik negeri ini mengeluarkan produk sendiri dalam usaha membantu rakyat membeli minyak lebih berpatutan berbanding sekarang.  

“Bagaimanapun, jenama produk minyak masak ini akan diumumkan kemudian,” katanya.

Mohd Shafie disambut ketika tiba untuk Majlis Solidariti Aidilfitri UPPM Sabah di Penampang. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Solidariti Aidilfitri Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof dan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Sabah juga akan memiliki kilang perabot di Kota Marudu yang turut dijangka mula beroperasi tahun ini.

Mohd Shafie (tiga dari kanan) bersalaman dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Solidariti Aidilfitri UPPM Sabah di Penampang. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Beliau berkata pihaknya sudah mengenalpasti sbuah kilang papan di kawasan berkenaan dan bakal memberikan lesen memproses perabot kepada kilang terbabit kerana sudah mempunyai pasaran serta pelabur daripada China. -SabahNews Today