Pilih Bahasa

Sabah rangka pelan khas bangunkan sukan, lahirkan atlet

Phoong Jin Zhe. – Gambar fail SNT

SANDAKAN, 9 Nov — Sabah sedang merangka satu pelan khas yang dinamakan Pelan Utama Sukan Sabah 2020-2030, bagi membangunkan sukan dan melahirkan atlet ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Belia dan Sukan Negeri, Phoong Jin Zhe berkata pelan itu akan memfokuskan pencarian bakat baharu, khususnya dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah untuk dilatih sebagai atlet dalam bidang tertentu.

“Kita sedang merangka pelan untuk mencari bakat baharu dalam kalangan kanak-kanak untuk dilatih supaya kita akan dapat melihat dalam 10 tahun akan datang, kita akan dapat melahirkan sekumpulan atlet yang berjaya mewakili Sabah bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga antarabangsa.

“Jadi, saya telah mengarahkan kementerian saya melalui Majlis Sukan Sabah untuk mencari bakat baharu di peringkat sekolah dan di peringkat kampung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Piala Ketua Menteri Sabah Ke-15 di sini, hari ini.

Phoong juga berharap Sabah akan berkecimpung dalam sukan baharu seperti e-sukan dalam usaha mempelbagaikan jenis sukan di negeri ini.

Beliau berkata kementeriannya juga akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan bagi membolehkan Sabah memperoleh lebih banyak peruntukan untuk membangunkan bidang sukan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negeri.

— BERNAMA