Pilih Bahasa

Sabah, Sarawak raih peruntukan paling besar bajet pembangunan luar bandar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak memperolehi lebih 50 peratus peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Pusat kepada seluruh negeri pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah yang diperolehi oleh kedua-dua negeri itu adalah paling tinggi berbanding negeri lain untuk melaksanakan projek pembangunan bagi keperluan rakyat di kawasan luar bandar dan desa.

Rina, Dr Yusof dan Ewon mengabadikan kenangan kepada para peserta kursus dan program Interaksi MPKK selepas majlis itu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Pada tahun ini sebanyak RM1.35 bilion telah diperuntukan kepada Sabah berbanding RM811 juta pada 2018 iaitu melibatkan pertambahan sebanyak 40 peratus.

“Peruntukan yang besar itu adalah untuk menyediakan kemudahan elektrik, air bersih, jalan luar bandar, kemudahan di bawah ameniti sosial serta baik pulih dan bina baharu Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.

Rina (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus induksi MPKK. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Interaksi Menteri Pembangunan Luar Bandar Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Program itu melibatkan penyertaan seramai 824 Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari tujuh daerah iaitu Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Membakut, Beaufort, Kota Belud dan Labuan.

Rina (tengah, duduk depan) bersama Dr Yusof Yacob dan Ewon. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Hadir sama ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

Rina berkata kementeriannya telah dan sedang melaksanakan sebanyak 101 projek jalan pembangunan desa dan 64 program komuniti sosial melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta dan jalan perladangan sebanyak RM2.5 juta.

Beliau menjelaskan kementeriannya pembangunan berkenaan disediakan secara berperingkat dalam tempoh setengah tahun ini di suruh daerah di Sabah.

Beliau menambah, pihaknya yakin lebih banyak lagi permohonan daripada pemimpin masyarakat akan diterima khususnya berkaitan pembinaan jalan desa, projek kecil dab komuniti sosial yang mampu memberikan impak besar kepada masyarakat luar bandar di Sabah. – SabahNewsToday