Pilih Bahasa

Sabah-Sarawak teruskan kerjasama pembangunan ekonomi wilayah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju meneruskan kerjasama pembangunan dalam pelbagai bidang ekonomi untuk manfaat oleh rakyat kedua-dua negeri berkenaan.

Hubungan baik di antara negeri yang terletak dalam Kepulauan Borneo itu membolehkan usahasama membangunkan industri pelancongan, infrastruktur serta prasaran dapat terus dipertingkatkan.

Mohd Shafie (kanan) dan Abang Jo (kiri) semasa sidang akhbar bersama siang tadi di PPNS. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terdapat beberapa lagi bidang pembangunan selain cari gali minyak dan gas yang mampu menjana ekonomi bukan hanya bagi Sabah dan Sarawak tetapi juga negara secara keseluruhannya.

“Sabah dan Sarawak bukan hanya mempunyai saiz keluasan negeri yang besar dan hasil bumi yang banyak bahkan juga ketika ini ekonominya disumbangkan oleh sektor pelancongan.

“Sudah tentu situasi ini dapat memberikan sumbangan untuk merealisasikan pembangunan di negara kita khsusus di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri ini masih agak ketinggalan daripada sudut prasarana berbanding tempat lain,” katanya.

Mohd Shafie bersama ahli jemaah menteri Sabah bergambar kenangan dengan rombongan Ketua Menteri Sarawak. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena lawatan balas rakan sejawatan beliau itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Rombongan kerajaan Sarawak turut disertai tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Speaker Dun Sarawak, Datuk Amar Asfia Awang Nassar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Mohd Shafie berkata dalam perbincangan itu pihaknya turut menyatakan hasrat untuk meneroka bidang lain memandangkan Sarawak agak jauh ke depan berbanding dengan Sabah dari segi industri hiliran.

Sementara itu Abang Johari berkata Sarawak amat gembira dengan jalinan erat di antara dua wilayah dalam Malaysia itu yang mempunyai banyak persamaan dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

Jelas beliau kekuatan Sabah dan Sarawak boleh mentransformasikan dua wilayah itu daripada sudut ekonomi dan sosial dengan potensi yang terdapat wilayah Borneo itu.

“Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Indonesia mempunyai kekuatan ekonomi yang perlu diterokai secara lebih meluas menerusi pendekatan lebih mantap.

“Kita tahu dari sudut sumber memang Borneo mempunyai beberapa kekuatan yang ada dan kalau kita mempunyai satu pendekatan setia kawan di antara kita lebih lagi Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan besar,” katanya.

Katanya dalam pertemuan dengan Mohd Shafie itu antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan isu minyak dan gas di kedua-dua negeri itu. – SabahNewsToday