Pilih Bahasa

Sabah sasar sifar kelahiran bayi dengan gen talasemia menjelang 2030

Frankie Poon. – Gambar fail SNT

KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) — Jabatan Kesihatan Sabah menyasarkan sifar kelahiran bayi dengan baka keturunan atau gen Talasemia menjelang 2030 sekali gus memastikan semua bayi dilahirkan di negeri ini bebas daripada penyakit itu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata berdasarkan pemantauan dijalankan jabatan itu mendapati kelahiran bayi dengan Talasemia di Sabah pada 2016 adalah 33 orang, menurun kepada 26 orang pada 2017 dan tujuh orang pada 2018.

Katanya, Program Saringan Talasemia adalah satu daripada strategi menangani penyakit itu yang dijalankan di klinik kesihatan dilengkapi peralatan makmal serta hospital menyediakan rawatan pesakit Talasemia.

“Sasaran utama program saringan itu pada 2008 hingga 2015 adalah golongan remaja, ibu hamil, saudara mara pesakit, pembawa Talasemia dan pasangan bakal berkahwin.

“Bagaimanapun, mulai 2016, program saringan itu diperluaskan dan difokuskan kepada murid Tingkatan Empat di setiap sekolah menengah di Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Talasemia Sedunia 2019 peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.

Poon berkata 88,616 pelajar Tingkatan Empat di semua sekolah menengah di Sabah direkodkan menjalani saringan dijalankan Pasukan Kesihatan Sekolah sejak 2016 sehingga tahun lepas, dan daripada jumlah itu, 5,164 atau 5.8 peratus pelajar disahkan sebagai pembawa Talasemia.

Beliau menggalakkan lebih ramai ibu bapa memberi keizinan kepada anak-anak menjalani saringan Talasemia di sekolah kerana ia amat penting bagi mengetahui sama ada menghidapi penyakit itu selain usaha membendung daripada ia terus diwarisi oleh anak-anak mereka.

“Kerjasama antara kementerian, jabatan dan semua pihak berkepentingan akan dapat memperkukuh aktiviti mengesan, merawat dan mencegah Talasemia daripada terus menjadi beban penyakit di Sabah dan Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Poon berkata, Sabah mencatatkan 1,815 pesakit Talasemia pada tahun lalu sejak Daftar Talasemia Kebangsaan dilaksanakan pada 2007.

Beliau berkata Sabah adalah negeri paling tinggi merekodkan pesakit Talasemia berdasarkan data pada 2014 iaitu 1,528 orang.

Sistem kemudahan kesihatan sedia ada di Sabah terus diperluas dengan mewujudkan sebuah lagi Pusat Rawatan Harian di Hospital Kota Belud selain Klinik Kesihatan Rosok, Kota Belud sebagai Pusat Informasi Talasemia pertama di negeri ini, katanya.

— BERNAMA