Pilih Bahasa

Sabah sedia beri kerjasama kepada NGO dalam usaha pemuliharaan hutan

KOTA KINABALU, 17 Jun (Bernama) — Kerajaan negeri Sabah sentiasa memberi sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan aktiviti pemuliharaan kawasan hutan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha itu membolehkan kepakaran di bidang itu dapat dikongsikan bersama dalam menghasilkan kayu kayan daripada spesis tempatan yang lebih berkualiti.

Mohd Shafie menyambut kedatangan Tun Abdullah bersama isteri di PPNS hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Saya sudah maklumkan kepada Yayasan Sabah mengenai apa yang perlu kita bantu bagi membolehkan mereka (NGO) melahirkan kepakaran dari segi (kaedah) penanaman kayu kayan dari spesis tempatan yang boleh ditanam dalam jangka masa pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata kunjungan Perdana Menteri Malaysia yang kelima bersama isterinya ke Sabah bertujuan untuk meneruskan usaha pemuliharaan hutan di Sabah yang dimulakan semasa Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri. 

Beliau berkata pemuliharaan hutan yang dijayakan oleh Jeanne di kawasan pedalaman di Sabah meliputi pelbagai jenis spesis kayu kayan.

Jeanne merupakan pengerusi Tropical Rainforest Conservation and Research Centre Sdn Bhd (TRCRC) iaitu NGO yang diamanahkan untuk melindung spesis pokok Dipterocarp di Sabah supaya spesies itu boleh diperkenalkan semula di habitat asal pada masa akan datang.

Pada November 2012, Kerajaan Sabah bersama TRCRC telah menandatangani perjanjian untuk memulakan usaha kelestarian untuk tempoh kerjasama selama 99 tahun.

— BERNAMA