Pilih Bahasa

Sabah sedia hadapi kemungkinan kes Covid-19 baharu selepas PKP

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sabah sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan pertambahan kes Covid-19 di negeri ini selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata masyarakat pastinya akan kembali menjalani kehidupan normal selain banyak premis perniagaan mula beroperasi semula.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meninjau pusat kuarantin sementara yang terletak di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita harus belajar daripada situasi negara lain  di mana jumlah kes positif Covid-19 di negara berkenaan meningkat semula apabila PKP ditamatkan.

“Ia juga mendorong kerajaan negeri memilih untuk memutuskan hanya sektor tertentu sahaja yang dibuka berdasarkan permintaan dan situasi,” katanya ketika sidang media selepas melawat pusat kuarantin sementara di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, dekat sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendengar taklimat ketika hadir meninjau pusat kuarantin sementara yang terletak di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mampu menempatkan sehingga 172 orang pesakit Covid-19 dalam satu masa, kerja ubahsuai dewan terbabit bermula pada Jumaat minggu lalu dan dijangka siap sepenuhnya Ahad ini.

Pusat kuarantin sementara berkenaan adalah cawangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menempatkan pesakit Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media selepas meninjau pusat kuarantin sementara yang terletak di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyatakan bilangan pesakit Covid-19 kekal 308 orang setakat hari ini dan semalam.

Bagaimanapun, beliau menyatakan semua pihak tidak boleh terlalu selesa serta leka dengan situasi terbabit. -SabahNewsToday