Pilih Bahasa

Sabah sertai pertandingan jemputan di Indonesia bagi mantapkan keserasian pemain

KOTA KINABALU, 30 Jan — Penyertaan pasukan bola sepak Sabah pada Pertandingan Jemputan Piala Gabenor Jawa Timur 2020 di Surabaya Indonesia pada Februari hadapan akan digunakan untuk menguji keserasian pemain dalam menghadapi Liga Super.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony berkata dalam memantapkan pasukan Sabah, faktor keserasian pemain yang dikekalkan dalam skuad Tambadau itu dengan pemain import baharu diberi keutamaan.

Peter (tengah) bersama Hector Ramos (tiga kanan), Dennis Buschening (empat kanan), Wan Muhammad Azraie (lima kiri), Zubir Azmi (empat kiri) dan Shahrizam Sahar (tiga kiri) di sesi pengenalan pemain bersama Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto (dua kiri), Pengurus Pasukan Henry Saimpon (dua kanan) dan Setiausaha Agong Safa Andrew Majanggim (kiri). Gambar SNT/Chris Maskilone

“Pasukan Sabah di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Baharu Kurniawan Dwi Yulianto tidak menetapkan sasaran pada penyertaan di pertandingan itu (PIala Gabenor Jawa Timur) dan pada masa sama mengelak pemain daripada mengalami kecederaan.

“Ini penting agar persiapan pasukan Sabah pada Liga Super tidak terjejas dan pada masa sama kombinasi antara pemain dipertingkatkan,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan pemain import baharu pasukan Sabah di sini, malam tadi.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata pertandingan jemputan di Indonesia itu, selain Sabah, ia turut disertai satu lagi pasukan Liga Super iaitu Selangor bersama enam lagi pasukan kelab Liga 1 Indonesia.

Dalam pada itu, empat pemain import baharu diserap dalam pasukan Sabah terdiri daripada Hector Omar Ramos Lebron, 30, dari Puerto Rico untuk posisi penyerang, Dennis Buschening, 29, dari Thailand (tengah), Muhammad Zubir Mohd Azmi, 29, Pahang (pertahanan) dan Wan Muhammad Azraie Wan Teh, 34, Terengganu (penjaga gol).

Pasukan Sabah mengekalkan dua pemain import pada saingan Liga Perdana tahun lepas iaitu Park Taesu, 30, dari Korea Selatan (pertahanan) dan Rodoljub Paunovic, 34, dari Serbia (penyerang).

Peter berkata, dalam memantapkan saingan pasukan Sabah pada Liga Super, tumpuan diberikan untuk menguatkan bahagian pertahanan dan tengah.

Justeru, beliau yakin kemasukan pemain import baharu itu akan menguatkan saingan pasukan Sabah pada Liga Super dengan perlawanan pertama Sabah menentang pasukan Polis Diraja Malaysia di gelanggang lawan pada Mac nanti.

Selepas lapan tahun, Sabah kembali ke saingan utama Liga Super apabila menjuarai Liga Perdana pada tahun lepas.

Mengenai prasarana Stadium Likas di sini dalam menghadapi Liga Super, Peter berkata hanya pagar keselamatan di beberapa tempat yang dikenal pasti sekitar stadium itu dibaik pulih disebabkan ada yang mudah dibolosi.

Katanya, ini bagi memastikan pasukan tuan rumah (Sabah) tidak rugi dari segi pungutan jualan tiket dan mengelakkan ada penonton cedera dengan memanjat pagar untuk mengelak dari membayar tiket, manakala prasarana lain khususnya lampu stadium dan padang dalam keadaan baik.

— BERNAMA