Pilih Bahasa

Sabah, Singapura tingkat kerjasama sektor perindustrian dan pelancongan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sabah dan Singapura menyatakan minat bekerjasama dalam meneroka pelbagai peluang perniagaan khususnya dalam bidang perindustrian dan pelancongan.

Perkara itu dinyatakan semasa kunjungan hormat oleh Menteri Perdagangan dan Industri merangkap Menteri Pelajaran Singapura, Chee Hong Tat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri (PPNS) hari ini.

Hong Tat (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Shafie selepas pertemuan mereka. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Dalam sidang media bersama, Mohd Shafie berkata perindustrian dan pelancongan menjadi pilihan kerana kedua-dua bidang itu bukan sahaja berpotensi besar malah telah membuktikan sumbangannya terhadap ekonomi negeri ini.

“Beberapa perkara kita telah bincangkan antaranya usahasama berkaitan perindustrian memandangkan Singapura merupakan negara yang maju dalam bidang itu dan Sabah berpeluang memanfaatkan kerjasama ini dengan menghantar rakyat kita menjalani latihan dan mempelajari sistem yang ada di Singapura.

“Di samping itu kita juga berbincang mengenai usaha memajukan sektor pelancongan dan pertanian bagaimana kita boleh memanfaatkannya bagi kepentingan ekonomi,” katanya.

Mohd Shafie (kanan) dan Hong Tat semasa sidang media selepas pertemuan kedua pemimpin di PPNS. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Terdahulu kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan di pejabat Ketua Menteri di PPNS bagi membincangkan beberapa perkara termasuk usaha merapatkan hubungan di antara kedua negara menerusi jalinan kerjasama dengan Sabah.

Sementara itu Hong Tat berkata Sabah merupakan rakan kongsi perniagaan yang penting bagi negara itu sejak sekian lama dan di bawah kepimpinan Mohd Shafie beliau yakin perkongsian sedia ada kedua pihak dapat membawa ke tahap lebih tinggi.

“Salah satu idea yang kita bincangkan tadi adalah untuk menubuhkan pejabat promosi perdagangan dan pelancongan Sabah di Singapura. Saya fikir jika dapat direalisasikan ini akan meningkatkan kesedaran dan peluang industri pelancongan Singapura dan Sabah.

“Saya fikir kita juga terbuka kepada cadangan untuk membuka pejabat yang sama di Kota Kinabalu kerana Ketua Menteri berkata perkembangan pesat sektor pelancongan di Sabah menyumbang kepada peluang pelaburan lebih besar dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” katanya.

Jika cadangan itu dilaksanakan katanya, bermakna pihak ejen pelancongan dan syarikat penerbangan juga secara tidak langsung akan terlibat dalam kerjasama ini. – SabahNewsToday