Pilih Bahasa

Sabah sokong Sukma Johor 2020 ditunda ke tahun hadapan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sabah menyokong agar Sukan Malaysia (Sukma) 2020 Johor yang sepatutnya dijadualkan pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda ke tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe berkata pendirian Sabah telah dimaklumkan dalam mesyuarat Jawatakuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican.

Phoong Jin Zhe. Gambar Fail SNT

Mesyuarat tersebut dibuat secara video teleconferencing pada Rabu.

“Saya mewakili Sabah bersetuju bahawa Sukma Johor 2020 ditangguhkan ke tahun depan 2021,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, sebentar tadi.

Phoong turut berkongsi pengalamannya bermesyuarat secara atas talian yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Adalah satu pengalaman yang agak luar biasa mengadakan mesyuarat ‘online’ ekoran perintah kawalan pergerakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Phoong turut memberitahu seramai 350 hingga 400 atlet daripada Sabah akan bertanding di temasya yang sepatutya diadakan secara dwi tahunan itu.

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua atlet Sabah mengekalkan tahap kecergasan masing-masing walaupun terpaksa melakukan latihan di kediaman masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (KPK) ketika ini.

Menurut Phoong sekiranya ada atlet yang tidak mencapai tahan kecergasan sepatutnya, pihaknya mungkin akan menilai semula penyertaan atlet dan jurulatih terbabit.

“Nasihat saya kepada semua atlet Sabah, teruskan latihan di rumah, disiplinkan diri untuk teruskan latihan yang telah diberikan oleh jurulatih masing-masing dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Semua atlet negeri itu masih meneruskan latihan di rumah dengan mengikuti senarai program latihan yang disediakan jurulatih masing-masing.

“Saya juga menyarankan semua jurulatih agar terus memantau atlet mereka menerusi panggilan video,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata belum ada atlet Sabah yang disahkan menghidap Covid-19, namun pihaknya akan terus menjalankan pemantauan.

“Pasukan yang telah menjalankan latihan atau penyertaan kejohanan di luar negara sebelum ini juga telah dinasihatkan untuk ‘self- quarantine’ di rumah selama 14 hari,” katanya.-SabahNewsToday