Pilih Bahasa

Sabah tangguh laksana cukai pintu ke atas kilang kelapa sawit

Datuk Jaujan Sambakong. Gambar Bernama

KUDAT, 23 Mei (Bernama) — Kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan cukai pintu ke atas kilang kelapa sawit, termasuk kepada mereka yang bakal melabur di Sabah, berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Jaujan Sambakong berkata keputusan itu dibuat bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi menarik pelabur datang ke negeri ini.

Katanya keputusan penangguhan sementara ini penting, untuk membangunkan ekonomi negeri ini.

“Keduanya adalah untuk memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada anak-anak tempatan Sabah, memandangkan negeri ini luas dengan tanaman sawit, namun industri pemprosesan sawit kurang, dan kita mahu ambil pendekatan ini menarik pelabur datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kementerian itu di sini, hari ini.

Jaujan berkata pelaksanaan pengangguhan cukai itu juga bergantung kepada keperluan serta tidak terhad dalam tempoh masa tertentu, dan akan dilaksanakan jika telah mencapai objektif yang ditetapkan.

“Atas tanggungjawab ini, kita akan kehilangan hampir RM10 juta dalam tempoh setahun dengan pelaksanaan penangguhan cukai pintu ini.

“Tapi apa yang penting adalah pelabur datang ke Sabah, dan memberi peluang pekerjaan kepada anak Sabah yang mana kita sedar banyak rungutan berkaitan kes pengangguran yang tinggi, khususnya melibatkan lepasan universiti,” katanya.

Menurutnya langkah ini juga akan menjadikan anak-anak tempatan tidak berharap mendapat pekerjaan dalam perkhidmatan awam, tetapi akan menceburi industri berteknologi tinggi ini untuk memperoleh pendapatan lumayan.

Dalam perkembangan lain, Jaujan berkata keputusan kabinet negeri memberhentikan pengeluaran lesen premis perniagaan mesin slot, dan apa juga dikategorikan sebagai judi, turut menjadi perbincangan utama mesyuarat kabinet itu.

Beliau berkata kementeriannya dengan tegas tidak akan memperbaharui semula lesen premis perniagaan mesin slot yang tamat tempoh.

— BERNAMA