Pilih Bahasa

Sabah terima pelaburan RM518.65j sejak Mei tahun lalu

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sabah menerima nilai pelaburan sebanyak RM518.65 juta melibatkan 23 syarikat pelabur sejak tampuk Kerajaan Negeri diambil alih pada Mei tahun lalu.

Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pelaburan ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 835.

Madius sedang menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian beliau di Dewan Undangan Negeri hari ini. Gambar SNT/Ihsan Youtube DUN

“Banyak lagi cadangan pelaburan yang kita sudah terima,” katanya dalam ucapan penggulungan usul terima kasih atas ucapan dasar kerajaan disampaikan oleh Yang DiPertua Negeri, bagi kementeriannya hari ini.

Katanya pelan-pelan atau Blueprint untuk pembangunan perindustrian Sabah memang wujud namun pencapaian sumbangan industri kepada GDP masih hanya pada kadar 7.5 peratus.

‘Ini menunjukkan bahawa apa yang diperlukan adalah pelaksanaan yang berkesan dan dan bukan setakat menyediakan Blueprint,” katanya

Madius berkata kmenteriannya sedang dalam proses melantik juruperunding yang akan merangka pelan tindakan strategik bagi memperkasakan rangka kerja institusi serta  menyelaras pelaksanaan dasar pembangunan perindustrian secara efektif.

Ini akan melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi, termasuklah memperkasakan kerjasama agensi Kerajaan Negeri dengan Persekutuan, tambahnya.

Rancangan yang baik juga diperlukan untuk mengatasi cabaran-cabaran seperti masalah kekurangan kemudahan infrastruktur dan prasarana yang melibatkan hal bekalan air, bekalan elektrik dan logistik untuk menarik minat pelabur datang ke Sabah, ujarnya.

Madius berkata kementeriannya juga sedang berusaha mencari tapak atau kawasan baru untuk di jadikan taman perindustrian yang baharu dimana harga tanah lebih kompetitif.

Taman Perindustrian yang baharu ini nanti akan menggunakan ‘business model’ yang baharu supaya bukan sahaja harga tanah kompetitif tetapi juga semua kemudahan yang diperlukan dapat diperolehi dengan mudah.

Beliau berkata harga berkaitan tanah ini menyumbang kepada kos menjalankan perniagaan di Sabah.

“Biasanya harga tanah dijadikan perbandingan oleh pihak pelabur kerana terdapat taman perindustrian di negeri lain di Malaysia dimana harga tanah amat murah secara relatif,” katanya

Ujarnya pandangan Adun Balung bahawa harga tanah bukan merupakan halangan pelabur untuk melabur di Sabah, pada umumnya mungkin benar dalam sesuatu situasi.

“Tetapi kita harus sedar bahawa untuk menarik pelaburan kita kena bersaing dengan beberapa negara lain dirantau ini bahkan negeri-negeri dalam Malaysia juga.

“Harga tanah di taman-taman perindustrian diSabah pada kadar sekitar antara RM20 hingga RM50 adalah merupakan antara yang tertinggi di Malaysia,” katanya.

Dari segi ‘Quit Rent’ purata harga yang dikenakan ke atas tanah perindustrian di Sabah adalah RM0.25 per satu kaki persegi.

“Berbanding kadar quit rent di negeri-negeri lain, kadar ini merupakan kedua tertinggi,” katanya.

Madius yang juga adalah Timbalan Ketua Menteri  berkata kerajaan juga akan mengambil langkah untuk terus memperkasakan pembangunan ekonomi digital.

“Perlaksanaan e-dagang akan membolehkan pembangunan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) yang akan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi syarikat-syarikat yang berlandaskan ekonomi digital memasarkan produk-produk mereka ke pasaran yang lebih luas tanpa sempadan.

“Dengan penerokaan  baru yang dirancang untuk dibangunkan oleh K.K.I.P Sendirian Berhad, ianya akan memberikan peluang yang besar kepada PKS tempatan untuk mengembangkan perusahaan dan perniagaan meraka,” katanya.

Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya semua pihak, terutama GLCs berganding bahu, sama-sama menjayakan halatuju Kerajaan; agar perindustrian menerajui peningkatan kekukuhan ekonomi Sabah, katanya.

Beliau juga bersetuju dengan Adun Luyang yang membangkitkan isu tentang sektor perkilangan dan perindustrian Sabah tidak dibangunkan sepenuhnya.

“Saya bersetuju kepada Yang Berhormat Luyang bahawa sektor perkilangan dan perindustrian bukan keutamaan kerajaan terdahulu, sebab itu sumbangan perindustrian kepada KDNK negeri Sabah hanyalah 7.2 peratus pada tahun 2018.

“Oleh kerana pembangunan perindustrian selama ini tidak pesat, maka peluang pekerjaan adalah kurang, dan akibatnya ramai belia yang berhijarah ke semenanjung Malaysia untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Namun di bawah Kerajaan baharu, perindustrian adalah menjadi keutamaan kerajaan dan ini dicerminkan dalam ucapan dasar kerajaan disampaikan oleh TYT, katanya.-SabahNewsToday