Pilih Bahasa

Sabah terima tujuh balai bomba baharu tahun hadapan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sabah bakal menerima tujuh balai bomba baharu menjelang tahun hadapan dalam usaha menangani masalah kebakaran di seluruh negeri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata semua balai bomba berkenaan terdiri lima balai bomba kategori D iaitu Nabawan, Libaran, Putatan, Telupid dan Sepanggar manakala dua balai bomba kategori E adalah Pulau Bangi serta Merotai.

Zuraida (tiga dari kiri) ketika memeriksa perbarisan sempena Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Ada antara balai bomba ini sudah dalam proses pembinaan dan dijangkakan siap pada tahun hadapan selain beberapa projek masih menunggu kelulusan serta perancangan.

“Ini juga salah satu usaha kita untuk mengurangkan kadar kemusnahan harta benda apabila berlaku kebakaran.

“Sebelum ini, ada kejadian berlaku di kawasan yang agak jauh dari balai bomba sehingga mengambil masa lama untuk sampai ke lokasi. Oleh itu, kita mahu mengurangkan faktor ini tatkala berlakunya kebakaran,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 276 peserta Bomba Komuniti membabitkan sembilan Parlimen menyertai latihan berkaitan kebombaan selama sehari pada 25 Ogos lalu.

Ditanya mengenai pelaksanaan perancangan Satu Daerah Satu Balai Bomba, Zuraida menyatakan perkara terbabit masih dalam perbincangan ekoran pelbagai aspek harus diambil kira sebelum membina sesebuah balai bomba.

Zuraida (kanan) dan Kamarulzaman (kiri) ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Kita melihat beberapa faktor penting termasuklah jumlah penduduk sesuatu kawasan dan aktiviti ekonomi yang tinggi.

“Disebabkan itu juga kita mahu banyak tempat di kawasan pedalaman mewujudkan pasukan Bomba Komuniti masing-masing agar dapat membantu memadamkan kebakaran diperingkat awal sementara menunggu anggota bomba sebenar sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya diperingkat kementerian sudah empat kali membangkitkan isu berkaitan elaun kritikal anggota bomba di Kabinet namun keputusan akhir belum diputuskan.

“Saya sendiri berpeluang bercakap sendiri dengan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara ini pada Sambutan Hari Bomba Sedunia dan baginda sendiri meminta kita memberikan satu kertas cadangan bagi pemakluman tentang status elaun kritikal berkenaan.

“Baginda sendiri telah membuat minit kepada Kementerian Kewangan untuk meluluskan elaun kritikal ini tetapi hal ini harus dibincangkan semula di Kabinet bagi dapatkan keputusan akhir,” katanya. -SabahNews Today