Pilih Bahasa

Sabah terus perkasa pembangunan sukan negeri tahun ini

Oleh Alfred Petrus

Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni tiba di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah sempena perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada aspek pengisian program Sukan Prestasi Tinggi, Industri Sukan dan Sukan Massa pada tahun ini sebagai usaha membangunkan serta memperkasakan bidang sukan di negeri ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata Sukan Elektronik yang dilihat sebagai permainan baharu dalam industri sukan juga akan diberi tumpuan oleh kerajaan.

“Dalam konteks pembangunan belia, Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah dan Dasar Pembangunan Belia Negeri Sabah telah dirangka untuk menggerakkan golongan belia dengan lebih dinamik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini hari ini.

Hadir sama dalam istiadat itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dua timbalannya iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta menteri-menteri Kabinet negeri.

Hadir sama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri dan pembangkang.

Tun Juhar turut memaklumkan bahawa dalam bidang sukan, prestasi sukan Sabah adalah memberangsangkan khususnya pencapaian cemerlang atlet-atlet dalam temasya-temasya sukan di peringkat nasional. 

Misalnya, beliau berkata pungutan 32 pingat emas dan Anugerah Atlet Lelaki Terbaik pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 2018 Perak merupakan pencapaian terbaik kontinjen negeri setakat ini. -SabahNewsToday