Pilih Bahasa

Sabah teruskan kerjasama dengan Sarawak kembalikan status rakan kongsi

KOTA KINABALU, 10 April (Bernama) — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan Sabah akan bekerjasama dengan Sarawak, memulihkan status kedua-dua negeri sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata dengan Semenanjung Malaysia, selepas pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di parlimen semalam gagal.

Beliau berkata kerajaan Sabah akan berbincang dengan Sarawak untuk mendapatkan sokongan agar perkara berkenaan dapat direalisasikan di masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan bersama beberapa menteri kabinet negeri sejurus tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya akan menghubungi rakan-rakannya di Sarawak untuk mengkaji semula perkara itu dan memastikan usaha sebegini berjaya dicapai. Kita akan melaksanakan satu lagi usaha membawa perkara berkenaan di parlimen.

“Kita akan terus berjuang untuk apa yang dipersetujui nenek moyang kita pada tahun 1963,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata membawa perkara berkenaan (pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan) ke parlimen adalah yang pertama kali, selepas lebih 50 tahun usaha untuk memulihkan status Sabah.

“Sebenarnya perkara itu (pindaan) sangat mudah, dan kita hanya mahu kembalikan apa yang dinyatakan pada tahun 1963, dan meletakkan ia semula ke perlembagaan 2019,” katanya.

Diminta mengulas mengenai keputusan anggota Parlimen daripada Sarawak yang tidak menyokong pindaan berkenaan, Mohd Shafie berkata beliau tidak berhak untuk memberi sebarang pandangan.

“Mungkin mereka tidak bersetuju dengan pindaan berkenaan, kerana berpendapat ada lagi beberapa pindaan yang perlu dilakukan secara bersama. Sudah tentu, kita perlu mendengar pendapat mereka, namun apa kita perlu tahu bahawa selepas pindaan berkenaan kita akan buat lagi pindaan selanjutnya,” tambahnya.

Semalam, Dewan Rakyat gagal mendapatkan undian dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan untuk memulihkan Sabah dan Sarawak ke status asalnya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pembacaan kedua Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 menyaksikan hanya 138 anggota parlimen yang menyokong, manakala 59 ahli parlimen lain termasuk Gabungan Parti Sarawak tidak mengundi.

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata Sabah tetap akan meneruskan tuntutan yang dibuat sebelum ini seperti tuntutan royalti minyak 20 peratus, walaupun melihat usaha mendapatkan tuntutan itu akan lebih berliku berikutan kegagalan pindaan Perlembagaan Persekutuan semalam.

— BERNAMA