Pilih Bahasa

Sabah-Thailand terus erat hubungan dua hala

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus berusaha menyediakan lebih banyak platform komuniti perniagaan bagi negeri ini dan Thailand kekal berinteraksi serta membina rangkaian perniagaan dua hala.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata banyak industri atau sektor perniagaan yang dapat diterokai samaada di Thailand mahupun Sabah.

Kenny Chua (tiga dari kanan) bersama H.E Narong Sasitorn (empat dari kanan) ketika Majlis Perasmian Forum Hubungan Perdagangan dan Pelaburan antara Thailand dan Sabah di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Pelancongan adalah salah satu sektor kian pesat berkembang dengan pesat di negeri ini namun bagaimanapun kita masih kurang jumlah bilik hotel untuk menampung keperluan pelancong. Perkara ini secara langsung memerlukan kita membina lebih banyak projek pembinaan hotel di negeri ini.

“Peningkatan jumlah pelancong ini mungkin boleh membuka banyak peluang perniagaan bagi industri berkaitan pelancongan seperti perkhidmatan makanan, perniagaan rekreasi, perkhidmatan pengangkutan dan tiket serta tempahan.

“Selain pelancongan, ekonomi Sabah kini scara beransur berorientasikan eksport dan didominasi dengan ketara oleh komoditi utama seperti pertanian terutamanya minyak sawit, perhutanan dan petroleum selain menjangkakan sektor automotif akan menjadi sumber pendapatan baru serta meningkatkan lagi pembangunan ekonomi keseluruhan di keseluruhan negeri.

Kenny Chua (kanan) menerima cenderamata daripada H.E Narong Sasitorn (kiri) sempena Majlis Perasmian Forum Hubungan Perdagangan dan Pelaburan antara Thailand dan Sabah di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Semua ini hanya beberapa contoh potensi perniagaan yang dapat dicapai oleh Sabah dan Thailand dengan kelebihan dan kekuatan persaingan antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada Forum Hubungan Perdagangan dan Pelaburan antara Thailand dan Sabah, dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua.

Turut hadir Duta Thailand ke Malaysia, H.E Narong Sasitorn.

Mohd Shafie berkata beliau percaya menerusi kerjasama lebih erat dari sektor swasta dan agensi kerajaan Sabah dan Thailand, ia dapat memperkukuhkan hubungan dan bersatu dalam usaha memajukan aktiviti perdagangan mahupun pelaburan.

Beliau juga yakin kedua belah pihak sedar akan keuntungan bersama yang akan dibuat dalam meningkatkan perdagangan dua hala antara wilayah masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kegembiraan apabila mengetahui penganjuran forum berkenaan adalah lawatan pertama misi perdagangan rasmi daripada Thailand ke Sabah berikutan penerbangan langsung pertama daripada Bangkok ke Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lalu yang dikendalikan oleh Thai AirAsia.

“Program ini menunjukkan kemajuan besar antara Thailand dan Sabah bukan sahaja dari segi perhubungan tetapi kerjasama ekonomi lebih mendalam dan erat,” katanya. -SabahNews Today