Pilih Bahasa

Sabah tidak naikkan tarif air – Mohd Shafie

KOTA BELUD, 10 Jan (Bernama) — Sabah tidak akan menaikkan tarif air, sebaliknya tumpuan diberikan untuk memastikan lebih banyak kampung menerima bekalan air terawat.

Justeru, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beberapa tindakan telah diambil termasuk melakukan penstrukturan di Jabatan Air Negeri Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Jabatan ini memberi keutamaan untuk mentadbir urus bekalan air terawat. Tiada gunanya menaikkan tarif air jika masih banyak lagi kampung tidak menerima bekalan air terawat.

Penting memastikan usaha ini dapat kita lakukan. Saya yakin hanya menerusi pengurusan baik termasuk mengelak ketirisan dan mempastikan supaya masalah menyebabkan kehilangan sumber dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas hadir di sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2019 Dewan Undangan Negeri Kadamaian di Kampung Taginambur dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan beberapa negeri menaikkan tarif air.

Mohd Shafie berkata penstrukturan dan tadbir urus baik di Jabatan Air Negeri Sabah itu telah meningkatkan hasil mata pendapatan jabatan berkenaan.

Katanya kerajaan negeri juga mahu memastikan bekalan air terawat di negeri ini mencukupi dengan meningkatkan kemudahan di loji air bagi memastikan bekalan air dapat disambungkan ke kampung yang belum menerima kemudahan itu.

 

—Bernama