Pilih Bahasa

Sabah tuan rumah Hari Muzium Antarabangsa peringkat Kebangsaan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Muzium Sabah menjaringkan tuan rumah penganjuran Hari Muzium Antarabangsa 2019 peringkat kebangsaan akan diadakan bermula 13 Julai sehingga 20 Julai depan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A. Kasim berkata pelbagai program telah disusun untuk pengunjung dalam dan luar negara.

Mohd Shafie (empat kiri) mendengar taklimat dan penerangan berkenaan Hari Muzium Antarabangsa 2019 peringkat Kebangsaan oleh Kamarul Bahrin (tiga kiri). Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

Tambahnya sepanjang program itu juga, hampir semua muzium seluruh negara dan muzium dari Kalimantan Indonesia akan menyertai karnival Hari Muzium Antarabangsa.

“Kita mempunyai kira-kira lebih daripada 230 buah muzium seluruh negara dengan pelbagai kategori antaranya muzium kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, muzium institusi serta muzium agensi kerajaan yang akan turut serta dalam program ini.

“Dalam pada itu, Muzium Sabah menyasarkan penglibatan sebanyak lebih 100,000 pengunjung dan pelawat yang akan datang bersama-sama memeriahkan karnival serta program-program yang telah disusun khas untuk orang awam dan pelancong.

Arif dalam sidang akhbar berkenaan menerangkan perjalanan program Hari Muzium Antarabangsa 2019 peringkat Kebangsaan. Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

“Kita juga menyeru agar warga Sabah terutamanya dan luar negeri ini agar berkunjung ke Muzium Sabah sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas kunjungan hormat Jabatan Muzium Malaysia kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Katanya sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2019 disambut secara serentak sebanyak lebih kurang 36,000 buah muzium seluruh dunia.

Namun, jelasnya sambutan yang dijalankan di Malaysia mempunyai keunikannya tersendiri yang mana ia disambut selama seminggu.

Sementara itu, Pengarah Muzium Sabah Arif Abd Hamid menerangkan berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang Hari Muzium Antarabangsa 2019 peringkat Kebangsan tersebut.

Arif berkata pada 13 Julai akan berlangsung pertandingan golf amal di Dalit Golf Club bagi mengutip dana tabung aktiviti Muzium Sabah.

“Pada keesokkan harinya, akan berlangsung Makan Malam Kesejahteraan yang terbuka kepada sema ahli muzium. Seterusnya pada 15 Julai, acara perasmian akan dijalankan di pusat membeli belah Suria Sabah.

“Manakala, pada 16 Julai pula akan berlangsung perasmian sukan di Kompleks Sukan Tun Adnan Likas yang mana akan berlangsung selama tiga hari. Diteruskan pada sebelah petangnya iaitu perasmian seminar Hari Muzium di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sabah (JKKNS).

“Pada 18 Julai, bicara santai akan turut diadaka dan sudah pasti orang ramai dijemput untuk memeriahkannya,” jelasnya.

Menurutnya, program Muzium Bersama Komuniti juga akan dijalankan pada 19 Julai di Kampung Benoni Papar yang mana program-program komuniti dan budaya akan diadakan untuk mempromosi kebudayaan Sabah.

Tambahnya, pada hari yang sama pukul 2 petang, sukan tradisional akan dijalankan di Kompleks Muzium Negeri Sabah di Kampung Warisan dan terbuka kepada orang awam serta pelancong.

Jelasnya malam penutupan Hari Muzium Antarabangsa 2019 itu diadakan pada 20 Julai.

Beliau berkata sepanjang seminggu penganjuran program itu, Muzium Sabah akan dibuka bermula pukul 9 pagi sehingga 10 malam berbanding hari biasa yang mana akan ditutup pukul 5 petang. -SabahNewsToday