Pilih Bahasa

Sabah tuan rumah kejohanan golf amatur

KOTA KINABALU, 4 Okt — Lebih 400 pemain golf dari 40 negara akan menyertai pusingan akhir Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2019 di empat kelab golf di negeri ini bermula 19 hingga 26 Okt depan.

Kejohanan itu akan berlangsung di Sutera Harbour Marina Golf and Country Club, Sabah Golf and Country Club di sini, Dalit Bay Golf and Country Club di Tuaran dan Nexus Golf Resort Karambunai.

Acara tersebut akan dianjurkan dengan kerjasama Delta Trend Golf and Lesuire Holiday Sdn Bhd yang telah menganjurkan pusingan akhir WAGC di Kuala Lumpur pada 2017 dan tahun lepas di Johor Bahru.

Selain Perodua yang menjadi penaja utama sejak tujuh tahun lepas, ianya turut dijayakan oleh Tourism Malaysia dan Sabah Tourism Board (STB), bagi memastikan kejohanan itu berjalan dengan jayanya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata kementeriannya dengan aktifnya mempromosikan pelancongan di Sabah termasuk pelancongan sukan dan mengiktiraf kepentingan golf bagi menarik pelancong dan pelabur ke negeri ini.

“Saya percaya selain daripada meningkatkan ketibaan pelancong dan perbelanjaan pelancongan ke Sabah, Kota Kinabalu tentunya akan menjadi tumpuan dunia, ketika kejohanan tersebut,” katanya.

Christina berkata pihak Tourism Malaysia dan pegawai STB akan memainkan peranan penting dalam mengkordinasi dan mendapatkan kerjasama daripada agensi kerajaan bagi memastikan WAGC berlangsung dengan sebaiknya.

Pemain golf yang menyertai WAGC mewakili negara masing-masing selepas menjuarai kejohanan kebangsaan di negara terbabit.

Kejohanan Golf Jemputan Amatur Dunia (WAGI), satu kejohanan berasingan untuk jemputan khas, wakil syarikat dan penaja, juga akan dianjurkan pada masa yang sama dengan WAGC.

Sementara itu, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau berkata, empat daripada lima pemain yang akan mewakili Malaysia di WAGC berasal dari Sabah.

Katanya, pasukan Malaysia telah dinobatkan sebagai juara pada 2012 dan 2015, manakala menduduki tempat kedua pada 2016 dan tahun lepas.

Beliau berkata, melalui kejohanan ini, ketibaan pelancong dari Eropah dijangka meningkat.

— BERNAMA