Pilih Bahasa

Sabah tumpu kepada pertumbuhan sektor produktif utama bagi rancakkan ekonomi negeri

KOTA KINABALU, 16 April  — Sabah akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan sektor-sektor produktif utama negeri iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian pada tahun ini untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata ini selaras dengan penjajaran semula yang telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk memastikan dasar pembangunan Sabah berada di landasan yang kukuh.

Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dun Sabah Ke-15 menyaksikan kedudukan kerusi Adun dijarakkan antara satu sama lain sebagai mematuhi PKP. Gambar Bernama

Beliau berkata sektor perindustrian khususnya sektor pembuatan akan diberikan tumpuan sebagai pemangkin bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, dan usaha yang telah dimulakan akan diteruskan sekali gus diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

“Ini bertujuan mempercepatkan lagi perubahan struktur ekonomi Sabah kepada sebuah negeri berasaskan perindustrian. Penekanan kerajaan negeri kepada sektor perindustrian akan menumpukan kepada industri yang bersih dan mesra alam.

“Ini selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk terus menekankan perlindungan kepada alam sekitar,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah Ke-15 di sini, hari ini.

Juhar berkata kerajaan negeri sedang menyediakan Pelan Induk Perindustrian Sabah dan Pelan Induk Perindustrian Minyak dan Gas Sabah ke arah memperkasakan sektor perindustrian termasuk industri perkayuan serta minyak dan gas.

Beliau berkata pelbagai usaha akan diambil untuk mengukuhkan institusi sedia ada termasuk menubuhkan institusi baharu seperti Invest Sabah yang akan mempromosikan peluang pelaburan di negeri ini.

Katanya Zon Ekonomi Bebas juga akan dibangunkan di taman-taman perindustrian yang strategik untuk menarik lebih ramai pelabur melabur di Sabah.

Juhar berkata langkah kerajaan negeri menghentikan pengeksportan kayu balak ke luar negeri diharap menggalakkan lagi industri hiliran berasaskan kayu kayan sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan baharu yang mempunyai nilai tambah tinggi untuk ekonomi Sabah.

“Pada masa sama, kerajaan negeri akan meningkatkan penanaman spesis pokok yang sesuai secara besar-besaran untuk memastikan bekalan kayu yang mencukupi untuk industri ini,” katanya.

Juhar berkata pembangunan Industri Kecil dan Sederhana di Sabah juga akan diberi tumpuan sebagai industri pendukung utama dan pemangkin kepada industri pembuatan.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang membangunkan sebuah portal usahawan dinamakan Sistem Maklumat Usahawan Sabah (SENTIS) untukmenyelaras, memantau dan memudahcara pembangunan usahawan di Sabah secara menyeluruh.

Mengenai sektor pertanian, Juhar berkata, kerajaan negeri telah menyediakan Rangka Tindakan Pertanian Sabah 2021-2030 yang menjadi panduan dalam membangunkan sektor ini secara terancang untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya tumpuan akan diberikan kepada pembangunan potensi pertanian yang belum diterokai dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan pertanian, perikanan, akuakultur dan penternakan untuk meningkatkan hasil keluaran secara komersial yang bernilai tambah tinggi di Sabah.

“Kerajaan negeri akan beralih daripada bergantung kepada hanya satu tanaman pertanian seperti kelapa sawit kepada kepelbagaian tanaman dan peningkatan pengeluaran makanan terutamanya padi, buah-buahan dan sayur-sayuran berpremium tinggi,” katanya, sambil menambah kerajaan akan memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Katanya sektor pertanian akan diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi moden bagi menambah produktiviti, penyelidikan dan pembangunan, latihan, akreditasi dan program berkaitan Amalan Pertanian Terbaik.

Sabah bakal menjadi hab makanan di rantau Asia terutamanya untuk memenuhi keperluan permintaan yang tinggi daripada pasaran besar seperti China, katanya.

— BERNAMA