Pilih Bahasa

Sabah umum iktiraf UEC: Ketua Menteri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Mohd Shafie (tengah) bersama barisan kepimpinan parti Warisan memotong kek bulan pada Festival Mid Autumn Warisan di Lintas Square. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri kedua di Malaysia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika merasmikan Pesta Perayaan Kuih Bulan 2019 anjuran Parti Warisan Sabah, di sini malam ini.

Mohd Shafie berkata keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu golongan belia di Sabah.

Mohd Shafie (tiga dari kanan) memalu gong sebagai simbolik perasmian ketika hadir ke Festival Mid Autumn Warisan di Lintas Square. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Calon yang menjalankan peperiksaan Junior UEC perlu menduduki Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) manakala Senior UEC Kanan perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jabatan Pendidikan dan Inovasi Sabah juga menyokong keputusan ini untuk mengiktiraf UEC namun sebagai syarat untuk masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) seseorang itu harus memiliki beberapa syarat untuk dipenuhi seperti kredit dalam Bahasa Melayu peringkat SPM, lulus mata pelajaran Sejarah (SPM) dan lulus ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet).

“Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) juga sudah bersetuju pemegang UEC yang ingin dilantik ke dalam perkhidmatan awam, haruslah mempunyai kelayakan yang diperlukan seperti yang dinyatakan di bawah peraturan dan peraturan JPAN,” katanya.

Terdapat sembilan buah sekolah atau institusi pengajian yang menawarkan UEC.

Mohd Shafie (tengah) hadir ke Festival Mid Autumn Warisan di Lintas Square. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Setakat ini, terdapat seramai 1,153 pelajar (di peringkat Junior) dan 583 (peringkat Senior) menduduki peperiksaan itu di Sabah.

Sarawak adalah negeri pertama yang mengiktiraf UEC pada tahun 2014.

Pengiktirafan itu membolehkan pemegang UEC memasuki perkhidmatan awam negeri serta universiti awam negeri Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Mohd Shafie melambaikan tangan ketika hadir ke Festival Mid Autumn Warisan di Lintas Square. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Terdahulu, Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik berkata keputusan mengenai samaada UEC akan diiktiraf hanya boleh dibuat selepas kajian terperinci dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata kerajaan tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan mengenai perkara tersebut walaupun berjanji kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mengiktiraf UEC sebagai laluan masuk ke universiti awam. – SabahNews Today