Pilih Bahasa

Sabah umum Pakej Rangsangan bagi Covid-19 esok

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengumumkan Pakej Rangsangan Sabah bagi membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 pada esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau juga akan memaklumkan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani Covid-19 semasa pengumuman pakej rangsangan itu.

Sidang Akhbar selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah di Tingkat 26 PPNS. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Pendekatan yang kita lakukan ialah untuk memastikan pengawalan masyarakat dalam membendung wabak Covid-19 serta menjamin bekalan makanan untuk rakyat mencukupi.

“Jangan hanya kita mengawal pergerakan mereka tapi makanan di rumah tidak ada susah (juga) nanti,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Mohd Shafie menjelaskan setakat ini pihaknya telah memaklumkan kepada semua wakil rakyat di negeri itu untuk membantu penduduk di kawasan masing-masing dan memastikan keperluan bekalan makanan terutama beras, tepung, gula, minyak masak dan makanan tin mencukupi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri meminta kerjasama daripada semua pihak yang mempunyai simpton Covid-19 serta telah berhubung dengan mana-mana individu secara terus agar tampil secara sukarela dan memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Tujuan kita bukan untuk mengambil tindakan terhadap mereka tetapi untuk membendung dan mengawal penularan Covid-19 merebak kepada individu lain,” katanya.

Setakat ini, Mohd Shafie berkata Sabah mencatatkan sejumlah 170 kes positif Covid-19 yang sebahagian besarnya adalah daripada jemaah tabligh dan sebahagian lagi daripada orang hubungan individu didapati positif. – SabahNewsToday