Pilih Bahasa

Sabah yakin pendekatan diambil kerajaan persekutuan kukuhkan ekonomi negara – Mohd Shafie

SANDAKAN, 9 Mei (Bernama) — Kerajaan negeri Sabah yakin dengan pendekatan diambil kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan hasil negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri sedar bahawa pendekatan itu tidak dapat direalisasikan dalam masa singkat dan mengambil masa sedikit.

Gambar Bernama

“Saya sedar dan tahu kerajaan persekutuan sudah setahun mengambil alih pentadbiran negara tetapi kita faham keadaan ekonomi dunia dan dalam negara banyak masalah perlu diatasi.

“Saya yakin bahawa kerajaan persekutuan ada mempunyai pendekatan khusus untuk mengambil langkah pengukuhan ekonomi dan hasil negara dapat ditingkatkan.

“Cuma tidak direalisasikan dalam masa pendek dan mengambil masa sedikit. Saya yakin selepas itu ekonomi kembali berkembang,” katanya kepada pemberita semasa program tinjauan mesra di Pasar Kim Fung Batu 4 di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata kerajaan negeri terbuka dan mudah menyuarakan tanpa ada sekatan kepada kerajaan persekutuan termasuklah membabitkan tuntutan hak rakyat Sabah.

Katanya Perdana Menteri sendiri memberikan komitmen dalam perkara ini termasuk menjadi pengerusi jawatankuasa bagi mendengar sendiri apa rintihan rakyat dan cuba mengatasinya.

“Ini kelainan dan ada jawatankuasa tertentu dan dia ( Dr Mahathir) memberi tempoh untuk diatasi. Dari sudut itu, kita dapat melihat bahawa dari segi keadaan keterbukaan kerajaan persekutuan ingin menyelesaikan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata media sosial juga tiada sekatan bagi mereka yang ingin melontar pandangan.

“Kalau dulu (kerajaan sebelum ini) muka kita pun tidak keluar sama ada di surat khabar, media sosial dan televisyen.

“Hari ini semua pihak media ada kebebasan. Ini yang kita inginkan kebebasan untuk meluahkan apa sebenarnya citarasa masyarakat di negara kita,” kata Mod Shafie.

— BERNAMA