Pilih Bahasa

SABAH YAKIN PINDAAN PERKARA 1(2) DAPAT SOKONGAN MAJORITI DUA PERTIGA DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR: Usul untuk meminda Perlembagaan dijangka dibentang dalam sidang Dewan Rakyat kali ini bagi memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih gagal dilaksanakan selama ini akhirnya dapat direalisasikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau yakin usul berkenaan dapat disokong oleh majoriti dua pertiga ahli Parlimen terutama pihak kerajaan agar hak Sabah sebagai rakan kongsi Semenanjung dapat diberikan.

Mohd Shafie diiringi Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew (kiri) dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong naik ke lobi Parlimen hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Katanya, beberapa perkara khusus termasuk permintaan-permintaan Sabah tentang pelaksanaan MA63 telah dibincangkan dalam mesyuarat tertutup bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir minggu lalu, namun perkara itu tidak boleh didedahkan ketika ini.

“Menteri Undang-Undang telah pun maklumkan bahawa usul ini akan dibawa ke Parlimen jadi sudah tiba masanya untuk dilaksanakan MA63.

“Saya sendiri dan semua ahli Parlimen yakin akan menyokong pindaan itu kerana ini adalah perjanjian asal pembentukan Malaysia yang kita perlu laksanakan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, Kerajaan Persekutuan tiada pilihan selain melaksanakan tuntutan MA63 kerana itu adalah salah satu cara yang mesti dilakukan untuk menyentuh hati rakyat Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak.

Tegasnya, perjanjian yang telah dipersetujui di peringkat antarabangsa itu sudah terlalu lama dibiarkan tidak terlaksana, justeru ini adalah masa terbaik untuk membuktikan kerajaan peka kepada permintaan rakyat semasa negara ditubuhkan.

“Suruhanjaya Cobbold yang mewakili suara orang Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu ketika itu telah dibentuk dan mencapai satu persetujuan iaitu MA63 maka jika kerajaan mahu menyentuh hati rakyat inilah masanya.

“Ini adalah perjanjian yang telah dimeterai sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan kita sebagai generasi baharu perlu melaksanakan apa yang telah dipersetujui,” tambahnya.-SabahNewsToday