Pilih Bahasa

SabahNewsToday raih dua anugerah Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2019

Oleh Junaidi Ladjana

Jurufoto Kanan, Datu Ruslan Sulai dan wartawan SNT, Alfred Petrus bersama anugerah masing-masing pada malam Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2019. – Gambar SNT

KOTA KINABALU: SabahNewsToday menggondol dua anugerah sempena Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2019 di sini malam tadi.

Datu Ruslan Sulai meraih merit bagi Anugerah Berita Bergambar Terbaik manakala Alfred Petrus juga meraih merit Laporan Berita (Bahasa Melayu).

Kedua-dua pemenang membawa pulang sijil dan wang tunai.

Ini adalah penyertaan pertama SabahNewsToday dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2019.

Dalam pada itu majlis anugerah itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang utama.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau dan Datuk Christina Liew; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon.

Sementara itu Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar berkata pihaknya menghargai komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan kerajaan baharu terhadap pihak media khususnya di Sabah.

Beliau berkata bagi penganjuran KPA tahun ini SJA turut memperolehi penajaan daripada pihak Petronas dan Sabah Cement Industries.

“Bagi pihak SJA, saya amat berterima kasih kepada penaja kami kerana membantu daripada segi kelancaran malam KPA.

“Kami berharap hubungan baik yang berterusan di antara pihak media dan kerajaan negeri ke arah membangunkan negeri ini menerusi laporan berita tepat serta dapat menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat,” katanya. – SabahNewsToday