Pilih Bahasa

SAFA JUAL TIKET SENDIRI JANA PENDAPATAN

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Penjualan “tiket bermusim” oleh Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) bermula pada musim ini adalah dengan kebenaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony berkata tuduhan Safa menjual tiket palsu pada perlawanan pertama pasukan Sabah di Stadium Likas baru-baru ini adalah tidak benar.

“Semua adalah teratur,” katanya sambil menunjukkan surat kebenaran daripada MFL.

Peter menunjukkan surat kebenaran daripada MFL bagi Safa mengeluarkan tiket bermusim. Gambar SNT/Chris Maskilone

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Perlawanan Liga Premier Sabah vs Terengganu FC II di Ibupejabat JKR hari ini, Peter berkata tujuan menjual tiket sendiri ialah bagi menjana pendapatan Safa.

Menurutnya, jawatankuasa Safa sendiri dianggotai oleh dua pegawai integriti yang terdiri daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis diwakili oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah SAC Jauteh Dikun.

“Bagaimana mungkin Safa menjual tiket palsu? Tuduhan yang tular itu adalah tidak benar sama sekali,” kata Peter.

Baru-baru ini tular di media sosial bahawa terdapat dua jenis tiket yang dijual dalam perlawanan Sabah menentang JDT2 sehingga ada yang mempertikaikan kesahihan tiket-tiket tersebut.

Mesej yang tular di media sosial mempertikaikan kesahihan tiket perlawanan bolasepak “B” yang sebenarnya dikeluarkan oleh Safa sendiri dengan kebenaran daripada MFL. Gambar Fail SNT

Namun, Safa menjelaskan bahawa kedua-dua jenis tiket tersebut adalah sahih dan perbezaannya adalah ianya dikeluarkan oleh Safa dan juga MFL, badan pentadbir liga negara.

Bagi tiket yang dikeluarkan oleh MFL, Safa perlu membayar levi ke atas hasil jualan tiket itu kepada MFL.

“Dengan tiket bermusim (yang dikeluarkan oleh Safa sendiri) semua hasil jualannya akan disalurkan terus ke dalam akaun Safa.

“Ini adalaha cara untuk menjana pendapatan memandangkan Safa tidak lagi menerima geran bantuan daripada kerajaan,” kata Peter.

Ianya juga selaras dengan saranan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar Safa mengambil inisiatif bagi menjana pendapatan sendiri, ujar Peter.

Sementara itu, Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata Sabah Tambadau ingin pastikan kemenangan menentang Terengganu FC II di Stadium Likas pada Sabtu ini.-SabahNewsToday