Pilih Bahasa

Safa Kota Belud muncul juara AJFC Liga Malaysia 2019

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Bermain dengan formasi pertahanan telah membantu Safa Kota Belud mengalahkan Karamunich Junior 1-0 pada perlawanan akhir Kem Bola Sepak Junior Allianz Liga Malaysia 2019, Wilayah Sabah di Stadium UMS Kota Kinabalu.

Jaringan kemenangan Safa Kota Belud dilakar oleh Mohd Haikal pada awal minit ketujuh setelah pasukan itu menukar strategi menyerang kepada pertahanan untuk menghalang serangan pemain Karamunich Junior.

Pemain Safa Kota Belud (jersi kuning) ketika beraksi menentang pemain Karamunich Junior. – Gambar SNT/Ihsan Allianz

Jurulatih Romzi Ramlee berkata gol awal yang dijaringkan oleh pasukannya telah menyebabkan pertukaran taktik dengan kemasukkan pemain tengah pertahanan untuk membantu empat pemain pertahanannya yang lain.

“Apabila kami menjaringkan gol awal tersebut, Karamunich melancarkan serangan bertubi-tubi dan kami terpaksa menukar strategi kepada formasi pertahanan.

“Terima kasih kepada semua pemain saya yang telah mengikut arahan kerana serangan awal kami telah membuahkan hasil,” katanya.

Pemain Safa Kota Belud (jersi kuning) ketika beraksi menentang pemain Karamunich Junior. – Gambar SNT/Ihsan Allianz

Pasukan Kota Belud juga menggondol anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Terbaik.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang mendebarkan, Sipitang Star telah mengalahkan juara tahun lepas, JJFC Tenom melalui sepakan penalti 4-3.

Tenom sebelum ini, mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan ini dalam masa 70 minit tetapi sepakan penalti Fannelson Gulani telah diselamatkan oleh pasukan lawan.

Para pemain Safa Kota Belud meraihkan kejayaan menjuarai AJFC Liga Malaysia 2019 peringkat negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Allianz

Selepas berakhirnya perlawanan akhir, 18 pemain terbaik telah dipilih untuk membentuk pasukan negeri Sabah dan mereka bakal bertanding di Perlawanan Akhir di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Subang Jaya dari 4 hingga 6 Julai ini.

Dalam perlawanan akhir pemain-pemain akan beraksi untuk memenangi hati panel pemilih AJFC Liga Malaysia yang diketuai oleh bekas pemain antarabangsa, K. Gunalan untuk menjadi salah seorang daripada sepuluh pemain yang dipilih untuk menyertai Kem Explorer Allianz – Edisi Bola Sepak di Singapura dari 23 hingga 26 Julai.

Di Singapura, pemain-pemain akan berdepan dengan ujian terakhir. Hanya dua orang pemain Malaysia akan dipilih untuk menyertai Kem Explorer Allianz – Edisi Bola Sepak di Munich pada 22 hingga 27 Ogos dan mereka berpeluang dilatih oleh jurulatih belia FC Bayern Munich di lokasi latihan pasukan tersebut di Säbener Strasse. – SabahNewsToday