Pilih Bahasa

Safa lepaskan Junior; Tambadau uji dua pemain import baharu

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) melepaskan penyerang dari Brazil, Luiz Carlos Junior setelah persetujuan dicapai antara kedua pihak hari ini.

Perkembangan ini menyaksikan skuad Tambadau Sabah kini mempunyai kekosongan dua slot pemain import yang perlu diisi sebelum jendela perpindahan pemain tutup pada penghujung bulan ini.

Junior (tengah) bersalaman dengan Henry. Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Setiausaha Agung Safa, Andrew Majanggim

Satu lagi slot pemain import Sabah kosong selepas pemain pinjaman dari Melaka United, Luka Milonovic dipanggil semula oleh pasukan asalnya itu.

Pengurus pasukan Henry Saimpon  berkata usaha sedang dilakukan bagi mengisi dua kekosongan bagi kuota import itu dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum perlawanan akan datang.

Dua pemain sedang menjalani ujian sekarang iaitu bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga, 30 dan pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayew, 29.

Aguinaldo yang berketinggian 1.86m beraksi untuk Ubon UMT dalam Liga Premier Thailand musim lalu manakala kelab terakhirnya ialah Poli Lasi FC dalam saingan Liga Super Romania (2019).

Ahmet dengan ketinggian 1.85m pula beraksi untuk kelab Arema dan Persela dalam liga utama Indonesia pada 2017 hingga 2019.

Ahmet sudah menyertai latihan pasukan  sejak Jumaat lalu manakala Aguinaldo pada Sabtu.

Ahmet Atayew kini sedang menjalani ujian untuk menyarung jersi Tambadau Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Kalau menepati keperluan pasukan, kita akan usahakan agar mereka dapat disenaraikan  pada perlawanan akan datang.

“Tugas semakin berat dengan saingan sudah di pusingan kedua…kita perlu mantapkan pasukan dengan memanfaatkan jendela perpindahan pemain sekarang,” kata Henry selepas menyelesaikan urusan pelepasan Junior di sini, Ahad.

Henry tidak memberikan sebab terperinci Junior dilepaskan namun berterima kasih kepada Junior atas sumbangannya kepada pasukan Tambadau dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

Skuad Tambadau Sabah kini hanya mempunyai dua pemain import sahaja iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Su dan penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic.

Tambadau Sabah kini di tangga ketiga Liga Premier selepas mengumpul 21 mata dari 11 perlawanan dengan enam kemenangan, tiga seri dan dua kalah.

Skuad bimbingan Jelius Ating itu hanya tiga mata di belakang pendahulu, JDT II (24 mata) dan dua mata di belakang pasukan tangga kedua, UiTM (23 mata) sementara berada di belakang Sabah ialah Terengganu FC II yang mempunyai 19 mata.

Sabah akan mengharungi dua perlawanan di tempat lawan berturut-turut iaitu UKM FC pada 17 Mei dan Pulau Pinang pada 25 Mei selepas itu mereka menanti kehadiran Negeri Sembilan di Stadium Likas pada 15 Jun.-SabahNewsToday