Pilih Bahasa

Safa yakin dapat selesaikan permohonan lesen kelab menjelang musim depan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) yakin dapat melengkapkan permohonan lesen kelab dengan bimbingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang musim hadapan.

Safa kini berada pada tahap 40 peratus dalam proses mendapatkan lesen kelab, sesuatu syarat mandatori bagi pasukan bertanding dalam Liga Super sejak dua tahun lalu.

Hamidin (kanan) menerima jersi skuad Tambadau Sabah daripada Rahman selepas pertemuan FAM dengan Safa hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

Lesen kelab juga akan menjadi mandatori untuk pasukan-pasukan beraksi dalam Liga Perdana bermula tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, FAM menyatakan kesediaannya membantu serta membimbing Safa dalam usaha itu.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata, lesen berkenaan bukan saja penting sekiranya skuad Sabah mahu memasang impian beraksi dalam Liga Super tetapi perkara itu juga adalah mandatori bagi pasukan-pasukan yang akan beraksi dalam Liga Perdana mulai musim depan.

“Kalau ada rezeki mungkin Sabah naik ke Liga Super, saya tengok dengan keupayaan pada tahun ini dengan perlawanan ada lagi 10 atau 11, Sabah perlu bersedia untuk melengkapkan lesen kelab Liga Super.

“Bagaimanapun, untuk Liga Perdana pula, lesen kelab adalah mandatori, jadi ini semua mustahak kerana saya tidak mahu terjadi pada mana-mana kelab sebelum ini yang layak tetapi tidak dapat memasuki Liga Super atas dasar tidak menepati hak pelesenan,” katanya.

Hamidin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Safa, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden 2 Safa, Datuk Rahman Zakaria.

Sementara itu, Rahman berkata, Safa kini dalam proses bagi melengkapkan permohanan mereka dan berharap dengan bantuan serta bimbingan FAM, mereka akan berjaya mendapatkan lesen kelab pada tahun ini.

“Ianya (permohonan lesen kelab) dalam proses, kita akan maklumkan perkembangannya nanti namun saya percaya dengan bantuan serta bimbingan FAM, kita akan sampai ke arah itu nanti,” katanya.

Terdahulu, Hamidin berkata tujuan beliau bersama ahli-ahli exco FAM berkunjung ke Sabah adalah bagi memberi penerangan kepada Safa yang juga ahli gabungan persatuan itu berhubung misi dan visi mereka supaya FAM dan Safa seiring.

“Kita juga memberi penerangan dan gambaran jelas mengenai program F:30 yang telah kita lancarkan pada Oktober lalu bersama dengan presiden FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

“Selain itu, kita juga memberi penerangan mengenai program inisiatif FAM iaitu Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) di mana SAFA boleh memohon untik menguatkan struktur bola sepak mereka dari segi teknikal, perbelanjaan, pamasaran, media, perundangan dan lain-lain lagi termasuk pelesenan kelab,” katanya.-SabahNewsToday