Pilih Bahasa

Safar dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri baharu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah) menyaksikan penyerahan tugas SKN di antara Hashim (kiri) dan Safar (kanan) pada Mesyuarat Kabinet di Pejabat Ketua Menteri. – Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Datuk Safar Untong dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baharu menggantikan Datuk Hashim Paijan yang telah bersara wajib pada 2 November lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Safar menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri bermula pada 4 November.

“Atas pengalaman luas beliau di dalam perkhidmatan awam negeri Sabah, kerajaan Sabah bersetuju untuk melantik beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang baharu.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan,” kata Mohd Shafie dalam kenyataan, di sini hari ini.

Safar Untong. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Penyerahan watikah pelantikan dibuat semasa mesyuarat pasca Kabinet diikuti dengan Majlis Serah Terima Tugas daripada Hashim kepada Safar. 

Safar, 55, menyertai perkhidmatan awam pada Oktober 1987 sebagai Juruujur Daerah A18 dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Antaranya termasuk Pegawai Juruukur Daerah, Bahagian Pantai Barat Selatan, Juruukur Daerah, Bahagian Pantai Barat  Utara, Penolong Pemungut Hasil Tanah, Sandakan, Penguasa Tanah dan Ukur (Ibu Pejabat), Ketua Penolong Pengarah (Ukur) dan Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur.

Jawatan terakhir beliau sebelum dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri ialah Pengarah Tanah dan Ukur. – SabahNewsToday