Pilih Bahasa

Safree Sabdin ungguli acara 42km Unicef Borneo Marathon

Oleh Mohd Adam Arinin

Antara peserta larian tahunan UNICEF Borneo Marathon 2019. Gambar SNT/Ihsan Borneo Marathon

KOTA KINABALU: Pelari jarak jauh tempatan, Safree Sabdin mengungguli acara maraton penuh bagi kategori lelaki terbuka pada program tahunan Borneo Marathon, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2019, di sini, hari ini.

Safree menamatkan larian bagi acara 42 kilometer itu selama dua jam, empat puluh sembilan minit dan empat puluh empat saat (2:49:44s), tiga minit awal daripada pencabarnya.

Pemenang kategori lelaki terbuka Full Marathon bergambar di podium bersama Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Saiman. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tempat kedua dimenangi oleh warganegara Amerika Syarikat, Tim Gruber dengan masa dua jam, lima puluh lima minit dan sebelas saat (2.55:11s) manakala seorang lagi pelari tempatan Mohd Syahidan ditempat ketiga dengan masa dua jam, lima puluh enam minit dan empat puluh enam saat (2:56:46s).

Bagi acara terbuka wanita pula, pelari negara mendominasi podium dengan Linda Then Yen Yen yang menjuari acara yang sama dengan masa tiga jam, empat puluh enam minit dan tujuh belas saat (3:46:17s) diikuti oleh Goh Bee Yin (3:47:10s) dan pelari tempatan Mailin Ripau ditempat ketiga dengan catatan masa empat jam, enam minit dan empat saat.

Duta UNICEF di Malaysia, Lisa Surihani bergambar dengan peserta di podium. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sebanyak tiga acara larian dipertandingkan termasuk acara 21 Kilometer dan acara 10 Kilometer yang menawarkan hadiah berupa wang tunai dan medal.

Seramai hampir 11,000 peserta berdaftar bagi semua kategori yang diadakan pada edisi yang mempromosikan pemakanan baik dengan tema #kurangmanis because #imsweetenough.

Duta UNICEF di Malaysia, Lisa Surihani bergambar dengan peserta di podium. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Duta Unicef di Malaysia, Lisa Surihani berkata penyertaan Borneo Marathon oleh semua individu yang menyertainya adalah satu perkara yang sangat membanggakan.

“Saya rasa sangat bangga dan teruja dengan penglibatan semua peserta dari usia seawal umur tiga tahun sehingga peserta veteran.

Peserta memakai kostum adiwira ‘Spiderman’ menarik perhatian ramai semasa acara larian tahunan UNICEF Borneo Marathon 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya amat yakin penyertaan larian maraton ini pada edisi akan datang akan terus meningkat saban tahun seperti mana edisi sebelum ini, tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang menjayakan larian edisi kali ini,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan hadiah kepada pemenang bagi kategori wanita dan kanak-kanak.

Antara peserta larian tahunan UNICEF Borneo Marathon 2019 yang menamatkan larian. Gambar SNT/Ihsan Borneo Marathon

Selebriti berumur 33 tahun itu juga turut bersama berlari sejauh tiga kilometer bersama kanak-kanak normal dan kurang upaya serta keluarga mereka. -SabahNewsToday