Pilih Bahasa

Saga IX: Keningau terus dahului pasukan lain dengan 9 emas

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Keningau terus mendahului kontinjen lain daripada segi kutipan emas pada hari ketiga Sukan Sabah (Saga) IX dengan mengumpul 14 pingat keseluruhan iaitu sembilan emas, perak tiga dan gangsa dua.

Tempat kedua Tawau yang memperolehi lima emas, lapan perak dan enam gangsa diikuti rapat kontinjen Kota Kinabalu dengan empat emas, lapan perak dan tujuh gangsa.

Sementara Beaufort dan Kota Marudu masing-masing di tempat keempat dan kelima dengan tiga emas namun dibezakan dengan perolehan dua gangsa yang dimenangi atlet Beaufort.

Lahad Datu pula mengutip dua emas manakala Papar, Sandakan, Putatan, Tenom, Kalabakan, Nabawan dan Kota Belud mengumpul satu emas.

Bagi acara bola jaring final esok bakal mempertemukan pasukan Lahad Datu menentang Keningau untuk penentuan emas manakala bagi perlawanan tempat ketiga dan keempat menyaksikan saingan di antara Tenom dan Kota Kinabalu.

Dalam pada itu Sandakan berjaya menewaskan Kota Belud 3-1 dalam perlawanan bola sepak peringkat kumpulan A di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau II.

Perlawanan kumpulan B di padang IPG Keningau pula menyaksikan Tawau menewaskan Ranau dengan satu gol tanpa balas hasil jaringan Sufadiansah Saharudin pada minit ke 36. – SabahNewsToday