Pilih Bahasa

Saga IX: Pemanah Tawau, Kota Kinabalu bolot dua emas; Kalabakan raih emas kedua

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Syafiq (kanan), Izzan Zaidan dan Mohd Haikal Fauzie yang bergandingan dalam acara berpasukan menggondol emas kedua buat Tawau dalam kategori berpasukan lelaki. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KENINGAU: Atlet memanah Tawau dan Kota Kinabalu beraksi cemerlang apabila meraih dua emas dalam pertandingan akhir recurve yang diadakan di padang bola Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad II di sini pagi tadi.

Dalam pertandingan itu pemanah Tawau, Mohd Syafiq Bustamin meraih emas dalam kategori recurve lelaki untuk menewaskan Muhammad Izran Anderson (Kalabakan) dan rakan sepasukannya, Izzan Zaidan Anderson masing-masing di kedudukan perak dan gangsa.

Pemanah Tawau beraksi dalam acara recurve berpasukan lelaki ketika saingan akhir di padang bola SMK Gunsanad II Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Mohd Syafiq, Izzan Zaidan dan Mohd Haikal Fauzie yang bergandingan dalam acara berpasukan menggondol emas kedua buat Tawau dalam kategori berpasukan lelaki.

Mereka mengalahkan Evan Rich Chong Qi Wei, Goh Chun Shen dan Jassel Lu Chun Viu dari Kota Kinabalu yang meraih perak serta Mohammad Khairil Rizman Asri, Muhammad Izran Anderson dan Mohammad Qarin [email protected] (Kalabakan) dengan gangsa.

Panahan emas atlet Kota Kinabalu dalam acara recurve wanita individu. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Kategori wanita acara itu pula dikuasai pemanah Kota Kinabalu yang memenangi emas dalam kategori recurve wanita dan wanita campuran dalam pertandingan akhir.

Kaitlyn Hannah Serman yang terdahulu menyumbang emas dalam recurve wanita turut cemerlang bersama Evan Rich Chong Qi Wei memenangi sebutir emas dalam acara campuran.

Aksi atlet memanah dalam saingan akhir di SMK Gunsanad II Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Mereka menewaskan Nur Wazira Junaidi dan Mohd Syafiq Bustamin (Tawau) dan Ekaputri Aqeela Ali dan Muhammad Dzulhelmi Dzulkarnain (Penampang) untuk pingat perak dan gangsa.

Kalabakan meraih emas kedua mereka kali ini dalam acara recurve berpasukan wanita menewaskan Kota Kinabalu dan Keningau yang berpuas hati dengan perak dan gangsa. – SabahNewsToday