Pilih Bahasa

Sah, tempoh perkhidmatan Naib Canselor UMS Prof D Kamarudin dipendekkan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin hari ini mengesahkan sendiri bahawa tempoh perkhidmatan beliau telah dipendekkan dan ianya akan berakhir pada 29 Julai tahun ini.

Penggal tiga tahun beliau sepatutnya tamat tahun hadapan.

Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menerima buku Pelan Pengurusan Risiko UMS 2019-2022 daripada Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof. Gambar SNT/Ihsan UMS

Beliau menjelaskan telahpun menerima surat makluman mengenai perkara itu daripada Kementerian Pendidikan.

“Berkaitan keputusan pemendekkan tempoh tersebut, saya akur dengan keputusan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik dan percaya bahawa keputusan yang dibuat secara profesional dengan mengambil kira kepentingan universiti,” katanya.

Prof D Kamarudin berkata beliau tiada pilihan selain mengumumkan perkara tersebut lebih awal bagi mengelakkan lebih banyak khabar angin yang negatif terus didengari oleh masyarakat khususnya warga universiti.

Prof D Kamarudin menerangkan isu pemendekkan perkhidmatannya sebagai Naib Canselor UMS. Gambar SNT/Ihsan UMS

Beliau berkata demikian dalam satu majlis Sesi Khas Naib Canselor Bersama Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) bertemakan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

“Perkara ini perlu dijelaskan bagi menangkis gosip-gosip liar oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan, dan saya berharap agar setiap kakitangan tidak terpengaruh dengan perubahan ini dan meneruskan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Menurut Prof D Kamarudin lagi perubahan pengurusan dalam organisasi kerajaan adalah satu proses biasa dalam kerajaan Malaysia Baharu dan pengurusan universiti sentiasa akur dan menerima keputusan dari kementerian.

Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin bergambar bersama Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Cuma sebelum ini segala perancangan saya untuk memantapkan lagi UMS, termasuklah aspek tadbir urusnya adalah perancangan bagi tempoh tiga tahun (sehingga tahun 2020), justeru walaupun tempoh saya dipendekkan, saya berharap agar setiap perancangan yang diusahakan sebelum ini akan diteruskan oleh para kakitangan akademik dan pentadbiran UMS.

“Perubahan seperti kajian semula kurikulum perlu diteruskan kerana kita mahu melahirkan para graduan yang dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran serta sedia memenuhi pasaran kerja semasa, dan ini sekali gus menyumbang kepada keboleh pasaran graduan UMS,” tambah beliau.

Mengulas mengenai bakal pengganti beliau, Prof D Kamarudin berharap agar bakal Naib Canselor UMS adalah seorang yang lebih baik daripada beliau dan berintegriti tinggi.

Datuk Dr. D Kamarudin bergambar bersama ketua PTJ yang menerima sijil penarafan bintang bagi tadbir urus UMS. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Saya juga berharap agar isu pemilihan Naib Canselor UMS ini tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri dan akur terhadap setiap keputusan kementerian,” katanya.

Beliau meminta kakitangan universiti supaya bersikap lebih profesional terutamanya dalam soal pelantikan jawatan tertinggi pentadbiran.

“Jangan cuba bermain politik dengan menyokong individu-individu tertentu demi kepentingan peribadi yang akhirnya bukan sahaja menyebabkan perpecahan dalam kalangan warga universiti, tetapi turut memberi satu contoh atau budaya yang tidak baik kepada para siswa-siswi universiti,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr. D Kamarudin turut menyempurnakan pelancaran Pelan Pengurusan Risiko UMS 2019-2022, serta menyampaikan sijil penarafan bintang kepada ketua PTJ bagi penarafan tadbir urus UMS.

SabahNewsToday terdahulu melaporkan Himpunan Ilmuwan UMS (HiUMS) telah menghantar satu memorandum kepada Menteri Pendidikan berkenaan calon Naib Canselor.

HiUMS juga difahamkan telah membuat E-voting (google forms) dengan meletakkan beberapa nama ahli akademik kanan UMS untuk dipilih sebagai calon Naib Canselor baharu.

Bagaimanapun, satu lagi badan iaitu Persatuan Staf Akademik UMS (PSAUMS) mempersoalkan tindakan HiUMS yang didakwanya seakan menidakkan kuasa menteri dalam isu pelantikan Naib Canselor.

PSAUMS turut mengirim surat kepada Dr Maszlee bagi menyampaikan aduan mereka terhadap tindakan HiUMS.

PSAUMS juga mendakwa HiUMS yang baru saja diwujudkan pada awal tahun ini telah mengakibatkan perpecahan kalangan staf akademik UMS.-SabahNewsToday