Pilih Bahasa

Saingan malam kedua MTHQK 1441H semakin menarik

KOTA KINABALU: Saingan pada malam kedua Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1441H/2020M semakin menarik.

Peserta OKU yang mengalami kecacatan penglihatan berasal Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi memperdengarkan Surah Maryam pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini di Sabah International Convention Center, malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Di antara tujuh peserta yang ditampilkan, tumpuan khusus diberikan kepada naib johan qari MTHQK tahun lalu, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dari Kelantan yang membaca ayat 41 juzuk 16 daripada Surah Maryam.

Seorang penonton turut bersama membaca surah yang dibacakan oleh peserta pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini di Sabah International Convention Center, malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau yang mengalunkan tajwid Nahawand dan Sika dikatakan menjadi saingan utama kepada qari tuan rumah, Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi yang telah memperdengarkan bacaannya semalam kerana keupayaan mereka yang sangat istimewa.

Peserta dari Wilayah Persekutuan, Lailasari Sabran. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut memperdengarkan bacaan, peserta jiran, Nor Jannah Abd Rahman qariah dari Terengganu yang membaca Surah Hud Ayat 61 juzuk 12 dengan tarannum Nahawand dan Soba. 

Selain beliau, qari, Mohamad Syaheed Sabri (Pahang) dan Muhammad Thufail Sayuti (Kedah) masing-masing memperdengarkan Surah An Nisa Ayat 112 juzuk 14 dengan tarannum Nahawand dan Hijaz dan Surah Al An’Am Ayat 104 juzuk 7 dengan tarannum Nahawand dan Jiharka.

Sebahagian daripada penonton yang berkunjung bagi menghayati bacaan ayat suci Al Quran pada MTHQK 1411H di SICC malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Manakala tiga qariah lain iaitu Awatif Abd Majid (Pulau Pinang), Nur Syakura Mohamad Musa (Sarawak) dan Lailasari Sabran dan (Wilayah Persekutuan Labuan) juga memberi saingan hebat kepada semua peserta.

Hadir menyaksikan majlis, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar.

Peserta dari Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa, malam ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, suasana di dalam dewan utama SICC tetap meriah dengan jumlah kehadiran dianggarkan mencecah 4,000 pengunjung yang memberi sokongan penuh kepada program tersebut sejak Ahad lalu.-SabahNewsToday/Penerangan-