Pilih Bahasa

Saingan Piala Malaysia 2019: Tambadau Sabah diundi dalam ‘kumpulan maut’

PETALING JAYA, 23 Julai (Bernama) — Juara bertahan, Perak berdepan misi sukar untuk mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi pada musim lepas setelah diundi dalam Kumpulan C yang boleh disifatkan sebagai ‘kumpulan maut’.

Pada majlis undian yang diadakan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) itu, skuad The Bos Gaurus diundi bersama naib juara Liga Super, Pahang, juara Liga Premier, Sabah selain pasukan Liga Premier, Pulau Pinang.

Beginilah kedudukan pasukan yang bertanding Piala Malaysia 2019. Sabah berada dalam kumpulan C. Gambar SNT/Ihsan MFL

Nasib berbeza pula dialami juara 33 kali, Selangor untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-34 selepas diundi bertemu Melaka, Felda dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.

Juara bertahan Liga Super yang merupakan juara Liga Malaysia 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula dijangka tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir selepas diundi menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC), PKNP FC dan UiTM FC dalam saingan Kumpulan B.

Juara lima kali, Kedah yang merupakan finalis Piala FA pada musim ini dijangka menerima saingan sengit tiga pasukan lain dalam Kumpulan A iaitu juara tiga kali, Negeri Sembilan, juara 2001, Terengganu FC dan wakil kelab Liga Super, PKNS FC.

Saingan pusingan awal Piala Malaysia 2019 dijangkan berlansung awal bulan depan.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan, layak ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang membimbing pasukan itu untuk merangkul Piala Malaysia musim lalu, mendedahkan bahawa anak buahnya bersedia menghadapi tugas yang mencabar itu, tetapi yakin para pemain akan memberikan yang terbaik untuk mengekalkan piala itu pada musim ini.

Beliau menambah bahawa Pahang dan Sabah akan menjadi pasukan yang perlu diperhatikan berdasarkan prestasi mereka dalam Liga Super dan juga pertandingan Liga Perdana.

“Ia sangat sukar dan tidak mudah bagi kami kerana Pahang dan Sabah diundi dalam kumpulan yang sama, tetapi diharapkan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk layak ke final,” katanya.

Pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid pula menegaskan skuad Harimau Kumbang bersedia memberikan cabaran dalam Kumpulan C walaupun terpaksa berdepan tiga pasukan pilihan pada kali ini.

“Sebenarnya tiga pasukan berkenaan adalah pasukan yang pernah beberapa kali ke final Piala Malaysia, dan kita akan cuba berikan saingan kepada ketiga-tiga pasukan berkenaan,” katanya.

Bekas jurulatih Perlis itu pada masa sama mengakui kegagalan layak beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan perlu dilupakan segera oleh pemain skuad Harimau Kumbang dalam misi memburu keputusan positif pada saingan Piala Malaysia pada kali ini.

Keputusan Undian: Kumpulan A: Kedah, Terengganu FC, PKNS FC, Negeri Sembilan Kumpulan B: JDT, PJ City FC, PKNP FC, Uitm FC Kumpulan C: Pahang, Perak, Sabah, Pulau Pinang Kumpulan D: Selangor, Melaka, Felda United, PDRM.

—– Bernama