Pilih Bahasa

Saksi kejadian diminta tampil bantu siasatan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KINABATANGAN: Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail meminta orang ramai yang melihat kejadian kemalangan membabitkan empat mangsa maut di Kampung Paris 2, Jalan Pertanian, Jumaat lalu, tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Beliau ketika dihubungi hari ini berkata setakat ini tidak ada saksi yang tampil ke balai polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku.

Supt Dzulbaharin Ismail. Gambar Fail SNT

“Saya memohon ada saksi-saksi yang dapat membantu pihak polis berhubung kejadian kemalangan yang meragut empat nyawa itu,” katanya.

16 Ogos lalu, Sabah News Today melaporkan empat maut selepas kenderaan yang dinaiki jenis Toyota Vigo bertembung dengan lori treler 10 tan muatan kelapa sawit, di kampung Paris 2 Simpang Pertanian, dekat sini.

Mangsa yang maut dikenal pasti iaitu Tambrin Beddu, 51, Nurdiana Samsi, 57, Anita Anwar, 41, dan seorang lagi tidak diperoleh rekod peribadi.

Pemandu lori berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. – SabahNewsToday