Pilih Bahasa

Saleem Iklim meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Penyanyi Saleem atau nama sebenarnya A.M. Salim Abdul Majeed, meninggal dunia pada kira-kira 6 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras di sini.

Pemergian Saleem, yang merupakan vokalis kumpulan Iklim, disahkan anaknya Iera Fakhira ketika dihubungi Bernama.

Saleem. Gambar Bernama

“Jenazah kini berada di PPUKM dan akan dibawa ke surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras (untuk disolatkan) sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan selepas solat Zuhur,” katanya.

Saleem, 57, yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’, dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya pada 20 Sept lepas yang antara lain menyebabkan kecederaan pada tulang rusuk.

Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggangi penyanyi berkenaan dilaporkan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta.

“Sebelum ini ayah saya telah dibenarkan keluar dari hospital, tapi Isnin lalu ayah dimasukkan semula ke hospital selepas keadaan kesihatannya kembali tidak sihat,” kata Iera Fakhira.

— BERNAMA