Pilih Bahasa

Sambut baik cadangan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya bagi subjek Sains dan Matematik: Dr Yusof

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Dr Yusof Yacob. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi menyambut baik cadangan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya bagi subjek Sains dan Matematik di negeri ini.

Menterinya, Datuk Dr Yusof Yacob berkata pihaknya sentiasa peka serta mengikuti keperluan pelbagai bidang yang memerlukan semua murid atau pelajar mahir Bahasa Inggeris.

Beliau berkata tuntutan teknologi masa kini menuntut setiap individu juga memahami banyak perkara dalam bahasa berkenaan.

“Kita sedar Bahasa Inggeris adalah bahasa dunia. Oleh itu, kita harus bersedia dan tidak boleh terlambat mengenai perkara ini.

“Saya melihat saranan itu sebagai saranan yang positif, malah sebenarnya sudah memulakannya selama ini dan ia sedang digunakan dalam kursus di beberapa kolej kita.

“Bagaimanapun, perkara ini mungkin boleh dibincang dengan lebih mendalam dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kejohanan Golf SeBorneo, Golf Amal dan Makan Malam Amal PAADIAN 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin), Simon Malubi yang mengesyorkan kerajaan negeri menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik.

Simon menerusi kenyataannya berkata cadangan mengikut langkah Sarawak itu bagi memperkasakan pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju sekaligus dapat bersaing dalam era globalisasi kini. – SabahNews Today