Pilih Bahasa

Sambut baik lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC)

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Chew (tengah) pada sidang media di pejabat Shareda di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul-

KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) menyambut baik usaha kerajaan melanjutkan tempoh insentif pengecualian duti setem serta pemberian diskaun harga pembelian rumah sekurang-kurangnya 10 peratus  menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Presiden SHAREDA, Chew Sang Hai berkata sebelum ini kerajaan mensasarkan kempen berkenaan hanya sehingga 30 Jun namun ditambah enam bulan lagi sekaligus tarikh akhir kempen pada 31 Disember hadapan.

Chew berkata usaha berkenaan dilihat mampu menggalakan lebih banyak peningkatan jumlah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah.

“Insentif ini juga boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi terutamanya industri hartanah di negeri ini selain mampu menangani isu bilangan rumah tidak terjual.

“Kita yakin dan menjangka boleh membantu pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam bidang hartanah dengan mampu menjual lebih banyak rumah menerusi skim yang ditawarkan ini.

“Masih ramai rakyat yang mahu mendapatkan rumah sendiri khususnya golongan muda. Kita harap usaha ini dapat membantu mereka memperoleh kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat Shareda, di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai isu pemilikan rumah di negeri berkenaan, Chew berharap lebih banyak dasar dan insentif berkaitan hartanah termasuk penambahbaikan terhadap kelulusan pinjaman perumahan dapat dilaksanakan.

Menurut beliau ia penting bagi membolehkan rakyat terutamanya bagi mereka yang belum pernah memiliki rumah sebelum ini.

Terdahulu, HOC diumumkan semasa Pembentangan Belanjawan 2019 dan mula dilaksanakan awal tahun ini.

Ia merupakan kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Shareda dan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Sarawak (Sheda) bagi  membantu rakyat memiliki rumah dengan harga dan kos yang lebih rendah. – SabahNews Today