Pilih Bahasa

Sambutan Ibadah Korban IPD Penampang meriah

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak ketinggalan menyambut Hari Raya Aidiladha dengan mengadakan sambutan Ibadah Korban dan Program Kepolisan Komuniti di perkarangan IPD berkenaan, petang tadi.

Lebih meriah, kehadiran bukan sahaja pegawai, anggota dan ahli keluarga polis IPD Penampang, tetapi orang ramai yang dianggarkan kira-kira 500 orang.

Anggota polis melapah daging seekor lembu yang dikorbankan pada majlis ibadah korban dan kepolisan komuniti IPD Penampang, hari ini. Gambar SNT/Ihsan Polis

Sebanyak enam lembu dan seekor kambing disembelih hasil sumbangan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking, warga IPD Penampang dan orang perseorangan yang bermurah hati menghulurkan sumbangan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata juadah untuk program berkenaan disediakan oleh pegawai dan anggota dari semua unit IPD Penampang dengan mengadakan acara gotong royong seawal jam 7 pagi tadi.

“Hari ini kita berkesempatan mengadakan dua program dalam satu masa iaitu sambutan Aidiladha di mana sumbangan diagihkan kepada kira-kira 400 golongan asnaf dan program Kepolisan Komuniti.

Pembantu Menteri Kepada Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri Jannie Lasimbang mengagihkan daging korban kepada tetamu yang hadir sambil diperhatikan oleh ADUN Petagas Datuk Uda Sulai pada majlis ibadah korban dan kepolisan komuniti di IPD Penampang. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ini adalah salah satu cara kita bagi mendekati masyarakat bagi mendapatkan lebih banyak maklumat yang akan digunakan untuk tujuan pencegahan jenayah,” katanya ketika ditemui di IPD Penampang, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai.

Mohd Haris berkata selain daripada sambutan Aidiladha, pihaknya turut berkesempatan untuk menganjurkan program Kepolisan Komuniti bersama masyarakat setempat.

“Kehadiran ramai ahli masyarakat dalam majlis itu memperlihatkan hubungan akrab yang sekali gus mempermudahkan tugas pencegahan jenayah dijalankan.

“Selain itu, kehadiran masyarakat hari ini melambangkan keakraban polis dengan orang ramai sejajar konsep ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Haris berkata, Indeks Kes Jenayah di daerah Penampang menunjukkan peningkatan tahun ini.

“Namun peningkatan itu bukan disebabkan kekurangan pemantauan atau pencegahan daripada IPD Penampang tetapi lebih kepada kepesatan ekonomi dan pertambahan jumlah penduduk yang membuka ruang kepada berlakunya gejala jenayah.

“PDRM khususnya IPD Penampang sentiasa komited dalam memastikan daerah Penampang sentiasa selamat,” katanya.-SabahNewsToday