Pilih Bahasa

Sambutan Kaamatan Inanam berlangsung tiga hari bermula 17 Mei

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU:Pesta Kaamatan Dewan Undangan Negeri (Dun) Inanam akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 Mei di Dewan Masyarakat Manggatal.

Pengerusi Penganjur Bersama Sambutan Pesta Kaamatan Dewan Undangan Negeri (Dun) Inanam 2019, Angela Kok berkata sempena perayaan berkenaan, pelbagai acara yang akan dijalankan sepanjang tiga hari tersebut.

Angela (dua kiri) dan Kenny (dua kanan) menunjukkan poster Kaamatan Iananam selepas sidang akhbar itu. Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya pada hari pertama iaitu 17 Mei, Malam Gala Unduk Ngadau akan diadakan bagi memperkenalkan 15 peserta akhir Unduk Ngadau Kaamatan Inanam yang akan bertanding untuk mewakili kawasan berkenaan ke peringkat negeri kelak.

“Selain itu, pada hari yang sama, kemuncak atau pusingan akhir pertandingan Sugandoi Kaamatan Inanam juga akan berlangsung yang mana 10 peserta akhir akan bertanding bagi mewakili Inanam ke peringkat negeri,” katanya dalam satu sidang akhbar, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri (PPNS) hari ini.

Tambahnya pertandingan Undauk Ngadau Kaamatan Inanam peringkat akhir akan diadakan pada hari terakhir perayaan sebagai kemuncak acara berkenaan.

Tambahnya acara-acara tradisi lain juga akan diadakan seperti pertandingan masakan tradisional Kadazan Dusun Murut (KDM), pertandingan memalu gong (magagong) dan pertandingan tarian tradisi (Sumazau).

Angela berkata sepanjang sambutan tersebut juga, Pesta Kaamatan Inanam yang dianjurkan bersama oleh Dun Inanam dan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Inanam itu turut memberi peluang kepada penduduk Inanam untuk menambah pendapatan sampingan.

“Sepanjang tiga hari acara ini berlangsung, kami mamberi peluang peniaga untuk membuka gerai-gerai jualan yang mana pada ketika ini sambutan sangat memberansangkan.

“Sebanyak lebih 30 gerai pelbagai jenis jualan akan dibuka. Tidak kurang juga gerai-gerai pameran sekitar lokasi acara ini berlansung.

“Kami juga menjemput 10 agensi kerajaan untuk membuat pameran termasuk Jabatan Kesihatan untuk menjalankan saringan kesihatan,” jelasnya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam dan Penasihat Pesta Kaamatan Dun Inanam 2019, Kenny Chua Teck Ho. -SabahNewsToday