Pilih Bahasa

Samora johan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Daerah Kecil Matunggong

Kontinjen Samora yang memenangi pertandingan perbarisan kategori NGO sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Daerah Kecil Matunggong. – Gambar SNT/Ihsan Samora

MATUNGGONG: Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) muncul sebagai johan Pertandingan Perbarisan (kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Daerah Kecil Matunggong yang diadakan di Padang Daerah di sini kelmarin.

Kontinjen Samora yang terdiri daripada 25 ahlinya diketuai oleh Joslin Masongiu berjaya menewaskan 29 kontinjen yang lain dalam pertandingan itu sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai dan sijil penyertaan.

Persatuan itu berjaya menempah nama dan muncul sebagai johan pertandingan itu walaupun kali pertama mengambil bahagian.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Jabatan dan Badan Bukan Kerajaan. 

Antara tetamu yang hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Francis Chong; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong, Barlus Mangabis; Ketua Daerah Matunggong, Jominit Kobuhi dan ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Daerah Kecil Matunggong. – SabahNewsToday