Pilih Bahasa

Sandakan sapu lima emas ping pong

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Gaya tersendiri peserta akhir ping pong wanita di Dewan Serbaguna SJK (C) Yuk Yin Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KENINGAU: Sandakan membuktikan penguasaan dalam acara ping pong pada kejohanan Sukan Sabah (Saga) IX apabila mengondol lima daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan di Dewan Serbaguna SJK (C) Yuk Yin di sini hari ini.

Daripada jumlah itu tiga disumbangkan oleh atlet ping pong wanita dalam kategori berpasukan wanita, individu dan beregu manakala dua lagi menangi dalam acara berpasukan lelaki dan campuran.

Atlet perseorangan wanita Sandakan, Zoe Fong Yi Chong menewaskan Loh Qiao Ni dari Tawau bagi kedudukan perak manakala Wong Yie Chee dan Shafiqah Athira Suriansyah masing-masing dari Kota Kinabalu dan Papar meraih gangsa.

Beregu wanita Sandakan meneruskan rentak kecemerlangan pasukan mereka dengan memenangi emas keempat menerusi gandingan Zanetta Fong Yi Xan dan Wendy Lau Hui Yu.

Gaya pemain beregu ping pong Kota Kinabalu dan Putatan pada aksi final di Dewan Serbaguna SJK (C) Yuk Yin Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Zanetta dan Wendy menundukkan rakan sepasukan Zoe Fong Yi Chong dan Tong Yie Teng yang meraih perak dan gangsa dikongsi bersama oleh Wong Yie Chee/Connie Leong (Kota Kinabalu dan Fung Jia Wen dan Tian Yeek Cheng (Tawau).

Emas individu lelaki diraih oleh atlet ping pong Kota Kinabalu iaitu Wong Chun Haw yang mengalahkan David Ho Cen Sen (Putatan) untuk meraih perak manakala gangsa milik Timothy Yap Zhi On (Tawau) dan Jordan Annesley Fernandez (Putatan).

Ainie Markus dari Nabawan beraksi dalam acara cross country olympic wanita. – Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Sementara itu, dalam acara akhir berbasikal berpasukan cross country relay pula emas menjadi milik pasukan Ranau dengan masa 32:05 saat.

Mereka menewaskan Nabawan yang meraih perak dengan masa 34:50s serta gangsa milik Tuaran yang mencatat 36:59s

Bagi acara cross country olympic wanita, emas dimenangi Ainie Markus dari Nabawan dengan masa 1:24:04s.

Atlet Tuaran, Ev Angle Willborn terpaksa akur dengan perak manakala Drevionna Magdelynna Davin dari Ranau meraih gangsa. – SabahNewsToday