Pilih Bahasa

SANG BEDAL MASIH BEBAS, JHL SEDIA MENJALANKAN TUGAS

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bunga Raya, menyeru Jabatan Hidupan Liar daerah ini mempercepat tindakan menangkap dua ekor buaya yang sering dilihat penduduk di kawasan perparitan, Jalan Sin Onn.

Chung Siang Ying, 48, berkata, laporan berhubung kemunculan dua sang bedal itu sudah dibuat oleh salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian selepas melihat kelibat buaya terbabit kira-kira jam 12 tengah hari, tadi.

Buaya kudung ini dilihat dalam perparitan Jalan Sin Onn. Gambar SNT/Ihsan penduduk Sin Onn

“Penduduk itu berkata, mereka sudah lama mengesan kemunculan dua ekor buaya ini tetapi tidak tahu caranya untuk melaporkan hal tersebut sehingga perlantikan Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) ini diumumkan baru-baru ini.

“Saya sudah menyerahkan surat aduan kepada Pembantu Pegawai JHL pagi tadi. Saya dapat rasa kerisauan yang dihadapi penduduk kawasan Taman Fook On yang lokasinya di Jalan Sin Onn.

“Masalah ini sudah lama dikesan tetapi belum lagi dapat penyelesaian sejak pertengahan tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Salah seekor buaya yang berada di perparitan Jalan Sin Onn yang mengusarkan penduduk. Gambar SNT/Ihsan penduduk Sin Onn

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan penduduk membuat aduan adalah langkah terbaik demi keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Pembantu Jabatan Hidupan Liar Cawangan Tawau, Zulkifly Asiman berkata beliau memberi jaminan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan berhubung masalah ini.

“Kita akan memasang perangkap di kawasan perparitan Sin Onn bagi memudahkan kerja menangkap buaya berkenaan.

Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bunga Raya, Chung Siang Ying (kiri), menyerahkan surat aduan kepada Pembantu Jabatan Hidupan Liar Cawangan Tawau, Zulkifly Asiman. Gambar SNT/ Ihsan PKM Sri Tanjong

“Saya juga memohon kerjasama penduduk berhampiran supaya dapat memberi maklumat terkini dari semasa ke semasa supaya proses menangkap buaya berkenaan dapat diurus dengan lancar.

Tambahnya, pihaknya turut meminta orang ramai Jika yang melihat kemunculan hidupan liar seperti monyet atau babi hutan di sekitar kawasan perumahan boleh terus hubungi JHL Cawangan Tawau di talian 089-763139.-SabahNewsToday