Pilih Bahasa

Sapsari bantu lindungi tenggiling dari ancaman kepupusan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Penubuhan Institut Penyelidikan dan Perlindungan Tenggiling Sabah (Sapsari) mampu memastikan habitat dan spesies tenggiling yang menjadi haiwan dilindungi sepenuhnya dapat dikawal daripada ancaman kepupusan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata penubuhan Sapsari adalah satu inisiatif yang dinantikan memandangkan haiwan Tenggiling Sunda dalam negeri ini semakin terjejas akibat aktiviti pemburu haram.

Christina (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga (lima kiri) dan Peter. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Sapsari atau Sabah Pangolin Sanctuary and Research Institute akan dibangunkan di kawasan Taman-taman Sabah (TTS) Tawau memandangkan kawasan itu terdapat habitat Tenggiling Sunda yang banyak.

“Institut ini nanti akan dibuka kepada orang awam dan pelancong untuk datang sebagai akses terhadap pendidikan terhadap haiwan terancam itu.

“Selain itu, dengan adanya pusat ini juga mampu memberi maklumat kepada orang ramai bahawa haiwan ini adalah sepsies yang dilindungi sepenuhnya kerana mengalami ancaman kepupusan akibat aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sapsari dan kerajaan negeri, di Wisma Tun Fuad, hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut menasihatkan kepada orang awam agar tidak memburu haiwan berkenaan untuk kepentingan diri sendiri dan mengaut keuntungan.

Katanya melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak bukan sahaja memulihara spesies berkenaan tetapi juga akan meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang bagi membendung penyeludupan tenggiling.

Tambahnya individu yang menjalankan aktiviti penyeludupan spesies berkenaan sudah pasti tidak akan terlepas dan akan diambil tindakan agar menjadi pengajaran kepada orang awam.

“Tindakan undang-undang sudah dikenakan kepada mereka yang memburu haiwan itu sebelum ini dan usaha seumpamanya akan dikenakan kepada anda semua yang ingin melakukan kesalahan sama,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Sapsari Arizona Peter Chan berkata beliau akan menyalurkan dana sebanyak RM1 juta sebagai permulaan bagi melancarkan operasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Katanya beliau akan mengawal sendiri pergerakan operasi pertubuhan itu secara keseluruhan, manakala Sapsari Sabah akan digerakkan oleh Pakar Tenggiling Tempatan iaitu Elisa Panjang.

“Sebenarnya, penubuhan Sapsari memakan kos kira-kira RM4.5 juta. Namun, kita juga akan berusaha mencari dana untuk melancarkan operasi pusat ini.

“Kita akan memberikan fokus dalam pendidikan, penyelidikan dan pembiakan haiwan ini. Kita perlu lakukan sekarang tanpa menunggu spesies ini hampir pupus sepenuhnya.

“Ini adalah projek berskala global dan bukannya negeri atau peringkat kebangsaan sahaja,” katanya. -SabahNewsToday